GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki yang juga orang kena tahan kes dadah ditemui mati disyaki bunuh diri dengan menggantung diri dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, hari ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Saleh berkata, mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui pada jam 5.30 pagi.

"Lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Ogos ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak koroner telah hadir ke tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, hari ini.

Fisol berkata, siasatan dilakukan di bawah Laporan Mati Mengejut oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, semua anggota yang bertugas sewaktu kejadian akan dipindahkan sementara ke cawangan lain sehingga siasatan selesai.

"Siasatan juga akan memastikan semua arahan pentadbiran berkaitan lokap dan Kaedah-Kaedah Lokap 1953 dipatuhi.

"Polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil kerana ia membabitkan kepentingan awam," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:33 PM