Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kecekapan polis berjaya menjejaki dan menahan Geng Zali Black, Geng Aji Lebai dan tiga suspek yang aktif terbabit dalam kegiatan mencuri kabel sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, semua sindiket itu menggunakan taktik yang hampir sama iaitu menyamar sebagai pekerja penyelenggaraan syarikat berkenaan dengan memakai jaket keselamatan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, 15 suspek ditahan adalah mereka yang terbabit dalam tiga sindiket serta dipercayai bergiat aktif di Kota Setar, Baling dan Kubang Pasu.

"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menahan 'Geng Zali Black' berikutan kecurian kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bukit Kayu Hitam.

"Ini susulan laporan kehilangan dua dram kabel milik TNB yang dianggarkan bernilai RM80,000 yang dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada 6.30 petang 6 Jun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Fisol berkata, berikutan itu, polis menahan lapan suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun di sekitar Alor Setar, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Perlis.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas empat beg putih mengandungi cebisan kulit wayar hitam dan lima guni putih mengandungi besi berwarna perak disyaki besi kabel TNB di sebuah kilang memproses barang lusuh (tembaga dan aluminium) di Gurun, Sungai Petani.

Beliau berkata, polis turut menahan Geng Aji Lebai, susulan kejadian curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) pada 9 Jun lalu jam 3.35 pagi di Stadium Peremba, di sini.

"Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kota Setar dengan dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Kota Setar menahan kereta Naza Citra yang dinaiki lelaki tempatan berusia 39 tahun.

"Susulan daripada itu, polis menahan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki tiga lelaki tempatan.

"Namun sewaktu mengundur, kenderaan terbabit melanggar seorang anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan dan patah tulang kaki kanan.

"Berikutan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan dan mengenai salah seorang suspek. Kenderaan dinaiki kesemua suspek terbabit berjaya ditahan pada jarak 1.5 kilometer dari tempat kejadian," katanya.

Fisol Salleh (empat dari kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel yang berjaya dirampas dengan tertangkapnya 15 suspek. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Fisol Salleh (empat dari kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel yang berjaya dirampas dengan tertangkapnya 15 suspek. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Fisol berkata, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 54 tahun dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

"Dalam serbuan ketiga, pihaknya menahan dua kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga lelaki di lorong sebelah Masjid Titi Teduri, Baling pada 11 Jun lalu jam 4.30 pagi.

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 37 hingga 42 tahun yang positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah," katanya.

Fisol berkata, modus operandi mereka mensasarkan kabel bawah tanah milik TM dengan membuka penutup lubang utama yang mana suspek akan masuk ke dalam lubang itu untuk memotong kabel lalu kabel itu ditarik ke atas menggunakan kenderaan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian ketiga-tiga kes itu adalah RM150,000.

"Polis turut merampas peralatan digunakan untuk mencuri kabel dan hampir kesemua mereka didapati positif dadah malah dengan tertangkapnya tiga geng ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes kecurian kabel di Kedah, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 2:36 PM