Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua lelaki dipercayai pengedar dadah menjadikan sebuah inap desa di Sungai Jagung, Sungai Petani sebagai transit untuk membawa 18.6 kilogram (kg) syabu.

Bagaimanapun kegiatan mereka itu terbongkar selepas polis menyerbu kawasan inap desa itu, Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil maklumat dan pemerhatian yang dilakukan, sepasukan polis menahan dua lelaki terbabit di perkarangan kawasan rumah itu sewaktu mereka sedang mengeluarkan sebuah kotak dari bonet kereta Honda City.

"Hasil pemeriksaan dalam kotak itu menemui 18 bungkusan plastik teh cina berwarna hijau berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 18.6 kilogram (kg).

"Turut dirampas, kenderaan yang dinaiki suspek iaitu sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPK Kedah, hari ini.

Fisol berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 35 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek berusia 34 tahun itu beralamat dari Alor Setar dan bekerja sebagai peniaga serta memiliki rekod jenayah manakala seorang lagi suspek beralamat dari Kuala Lumpur dan tidak bekerja itu mempunyai turut memiliki rekod jenayah.

FISOL ditemui selepas meninjau keadaan undi awal membabitkan 875 pegawai dan anggota di IPK Kedah, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FISOL ditemui selepas meninjau keadaan undi awal membabitkan 875 pegawai dan anggota di IPK Kedah, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Siasatan awal mendapati, suspek menjadikan inap desa itu sebagai transit untuk membawa dadah berkenaan.

"Dadah itu berkemungkinan dibawa dari negara jiran untuk pasaran tempatan," katanya.

Fisol berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah RM 671,220 dan mampu digunakan antara 30,000 hingga 40,000 penagih.

Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM500 turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengesan jika ada lagi saki baki yang terbabit dalam kegiatan itu," katanya.

Fisol berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN IPK Kedah dalam memastikan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah berbahaya berjaya di tumpaskan.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 11:38 AM