MUHAMMAD Azeem Fahmi.
MUHAMMAD Azeem Fahmi.
Asrol Awang


Kuantan: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menyasarkan antara satu dan dua tahun akan datang untuk meletakkan dirinya berada pada prestasi terbaik dalam acara 100 meter (m).

Pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata ketika ini, fokus utama ialah untuk menimba pengalaman dalam meningkatkan kerjaya dalam acara kegemarannya.

"Beri saya masa setahun atau dua tahun lagi untuk saya berada pada prestasi terbaik sepanjang kerjaya. Saya masih berumur 20 tahun dan akan berusaha melakukan yang terbaik," kata Muhammad Azeem.

Pada final 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium darul Makmur malam tadi, Azeem dari Perak mencatat masa 10.43s untuk berada di tempat pertama.

Tempat kedua diraih Jonathan yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan catatan 10.54s dan Muhammad Efrain Feezan Khan dari Pahang (10.61s).

Mengulas reaksi spontan apabila memberikan kasut selepas menamatkan larian 100m, Muhammad Azeem berkata, pemberian itu sebagai tanda penghargaan saya kepada rakyat Malaysia yang selalu mendoakannya.

"Ayah saya pernah cakap, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Bagi saya, mereka yang datang ke sini (stadium) sanggup memberikan tenaga dan mungkin keluar duit untuk menyaksikan saya.

"Oleh itu apabila saya menggembirakan orang, mereka akan mendoakan yang terbaik kepada saya. Saya juga tiada cara lain untuk membalas jasa mereka dan cuma memberikan yang saya mampu.

"Tetapi dengan sokongan yang diberikan, saya akan lakukan terbaik untuk memberikan semua yang menyokong saya tersenyum," katanya.

Dia yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaiknya musim ini ialah 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu.

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukannya mencatat 10s untuk layak secara merit pada temasya sukan terbesar itu.

Namun, Muhammad Azeem masih mempunyai peluang untuk layak ke Paris apabila menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan yang berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:31 PM