BEBERAPA gerai sementara menjual sayur-sayuran, daging serta ayam yang terletak di hadapan Pasar Chow Kit dan sepanjang jalan bertambah berbanding sebelum ini. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
BEBERAPA gerai sementara menjual sayur-sayuran, daging serta ayam yang terletak di hadapan Pasar Chow Kit dan sepanjang jalan bertambah berbanding sebelum ini. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut esok, Pasar Chow Kit di sini dilihat sesak dengan orang ramai untuk membeli barang keperluan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, beberapa gerai sementara menjual sayur-sayuran, daging dan ayam yang terletak di hadapan pasar dan sepanjang jalan turut bertambah berbanding sebelum ini.

Kerani, Kamal Wahid, 46, berkata, dia membeli barang keperluan di Pasar Chow Kit adalah bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

Dia yang tinggal di Ampang berkata, antara barang yang dibelinya adalah tiga ayam dan dua kilogram daging bagi membuat rendang.

"Saya datang ke Pasar Chow Kit disebabkan di sini murah dan nak cari barang senang. Satu tempat sahaja.

"Dari segi harga pula, barang yang dijual di sini dilihat berpatutan. Kalau pergi lewat, lagi murah. Berbanding kalau saya beli di Ampang agak mahal," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamal turut berharap agar kawasan di sekitar Pasar Chow Kit diperbesarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada masa akan datang.

"Saya berharap kawasan di sini diperbesarkan. Kalau kita bawa kereta, nak 'parking' agak susah," katanya.

Kontraktor, Mohd Ehsan Mazlan, 39, pula berkata, dia akan ke Pasar Chow Kit untuk membeli barang persiapan menjelang sambutan hari raya.

Dia yang tinggal di Gombak berkata, antara barang yang dibelinya adalah seperti lima ayam, empat kilogram daging, sayur-sayuran dan santan.

"Setiap kali nak raya, saya akan datang ke Pasar Chow Kit. Dari segi harga sebenarnya, ia sama sahaja dengan tempat lain.

"Saya datang ke sini sebab semua barang keperluan ada di sini, tak payah saya nak pergi ke beberapa tempat.

"Berbanding kalau saya beli di Gombak, banyak kedai Acheh. Kedai Acheh mahal. Itu sebab saya datang sini kerana banyak pilihan," katanya.

PASAR Chow Kit sesak dengan orang ramai yang membeli barang keperluan. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
PASAR Chow Kit sesak dengan orang ramai yang membeli barang keperluan. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:37 PM