PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC mahu mengekalkan momentum kemenangan 7-0 ke atas KL Rovers dalam aksi Pusingan 16, Piala FA malam tadi untuk dibawa ke saingan suku akhir pada akhir Jun dan awal Julai nanti.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata perlawanan malam tadi penting untuk mara ke pusingan seterusnya dan pencapaian yang dilakar perlu dikekalkan untuk berdepan saingan suku akhir.

"Ia keputusan yang cukup baik namun kita perlu konsisten di mana 90 minit perlawanan ini penting memandangkan kita tidak akan bermain minggu depan. Kita hanya bermain mungkin pada 28, 29 atau 30 Jun dalam saingan suku akhir.

"Perlawanan 90 minit ini juga penting untuk kesebelasan utama mendapatkan minit permainan dan kita berjaya mendaoatkan jumlah gol yang agak baik.

"Jadi, saya berharap mereka (pemain Sabah FC) akan kekalkan momentum ini di mana kita ada banyak lagi perlawanan selepas ini untuk kita harungi," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Kim Swee berkata, tumpuan pasukan selepas ini adalah untuk menghadapi saingan suku akhir Piala FA sebelum memikirkan saingan seterusnya dalam aksi Liga Super yang mana Sabah bakal berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Likas pada 13 Julai depan.

"Kita ada dua perlawanan kalau tidak silap saya iaitu suku akhir pertama dan kedua Piala FA sebelum kita bermain dengan JDT, jadi fokus kita dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya.

Sabah bakal berdepan Terengganu FC pada saingan suku akhir Piala FA bermula dengan aksi pertama pada 28 Jun ini di gelanggang lawan, manakala yang kedua di Stadium Likas pada 4 Julai depan.

Aksi malam tadi menyaksikan Sabah berpesta gol selepas mendapat gol pertama melalui sepakan percuma penyerang import dari Indonesia, Saddil Ramdani pada minit ke-16.

Gol pembukaan itu mencetus semangat pemain Sabah untuk melebarkan jaringan dengan Ramon Machado menyumbang tiga gol pada minit ke-27, 44 dan 58, manakala dua gol dijaringkan Park Taesu pada minit ke-50 dan Mohd Jafri Chew pada minit ke-72.

Sabah kemudian mendapat gol bonus pada minit kecederaan hasil jaringan sendiri sendiri pemain KL Rovers, Mohd Raffi Nagoorgani sekali gus memberikan Sabah kemenangan besar 7-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:25 PM