Harga pelbagai jenis ikan yang dijual di pasar basah ketika tinjauan di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Harga pelbagai jenis ikan yang dijual di pasar basah ketika tinjauan di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Nurul Najwa Mohd Noordin & Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Peniaga barang basah di beberapa pasar sekitar ibu kota mendakwa mereka resah apabila hasil jualan menurun susulan kenaikan harga barangan itu oleh pembekal.

Tinjauan Harian Metro di Pantai Dalam, Chow Kit dan Kampung Baru hari ini, mendapati cili padi kini dijual RM28 sekilogram berbanding RM18 sekilogram sebelum ini, manakala sawi RM11 sekilogram berbanding RM7 sekilogram sebelum ini dan kangkung dijual pada RM10 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sebelum ini.

Rata-rata peniaga mendakwa harga sayur meningkat antara RM2 hingga RM10 sekilogram.

Peniaga ikan dan sayur di Pantai Dalam, Mohammad Asyraf Mohd Zaidi, 26, berkata kenaikan harga barang basah itu menyebabkan perniagaannya menurun sebanyak lima peratus sejak kebelakangan ini.

"Pelanggan mengurangkan kuantiti pembelian mereka kerana harga barang naik. Ada juga yang merungut, tetapi kebanyakan juga akan memahami situasi ini," katanya.

Manakala, peniaga sayur di Kampung Baru, Mahdalena Ahmad Ddin, 63, berkata dalam keadaan ekonomi sekarang golongan peniaga dan pengguna sama-sama terkesan dengan kenaikan harga barang.

"Bukan hanya pembeli yang terkesan, peniaga juga dalam dilema kerana kami tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga kerana barang dari pembekal juga mahal.

"Perniagaan saya juga tidak dinafikan semakin perlahan sejak kebelakangan ini," katanya.

Katanya, pihak berwajib perlu memantau harga barangan basah yang ditetapkan pembekal dan peniaga supaya golongan yang memerlukan juga dapat membelinya.

Sementara itu, seorang pengguna, Wan Haslini Wan Kamaruzaman, 49, berkata peningkatan harga barangan menjadikan dia dan keluarganya terpaksa menyusun semula perbelanjaan bulanan.

"Saya faham mereka (peniaga) terpaksa menaikkan harga barangan kerana mereka juga mempunyai komitmen sendiri seperti bayar tapak sewa, serta gaji pekerja.

"Saya rasa sangat terbeban dengan harga mahal sekarang. Bayangkan harga ayam mentah di pasar boleh meningkat RM28 seekor, berbanding dahulu berharga RM24 seekor," katanya.

Bagi pekerja swasta, Siti Aisyah A Aziz, 26, perbelanjaan bulanan bagi barang basah meningkat 50 peratus.

"Kita tahu kos sara hidup semakin tinggi apabila harga barangan naik dan rakyat seperti saya mengharapkan kerajaan dapat menangani perkara ini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:37 PM