TINJAUAN harga sayur di Pasar Cabang Tiga. FOTO Faizul Azlan Razak
TINJAUAN harga sayur di Pasar Cabang Tiga. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Peniaga pasar basah di sini mendakwa harga beberapa jenis sayur naik antara RM4 hingga RM6 minggu ini susulan faktor cuaca yang tidak menentu.

Tinjauan mendapati salad paling ketara berlaku kenaikan hingga RM18 sekilogram berbanding RM12 sekilogram minggu lalu manakala cili dan cili besar dari RM12 kepada RM16 sekilogram.

Peniaga sayur, Marzuki Omar, 62, berkata beberapa jenis sayur lain juga berlaku kenaikan harga minggu ini seperti kangkung yang dijual RM8 sekilogram berbanding RM6 sekilogram minggu lalu.

"Berlaku kenaikan harga beberapa jenis sayur minggu ini tetapi masih tahap stabil. Namun saya terpaksa mengehadkan pembelian daripada pembekal kerana bimbang tidak habis dijual," katanya yang ditemui di Pasar Cabang Tiga di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga sayur, Mamat Embong, 70, berkata bukan sayur yang datang dari Cameron Highlands saja berlaku kenaikan harga, malah sayur kampung juga naik.

Menurutnya, antara sayur kampung yang berlaku kenaikan ialah terung bulat daripada RM6 kepada RM9 sekilogram.

"Selain itu, bendi yang dijual dengan harga RM10 sekilogram minggu lalu naik kepada RM14 minggu ini.

"Selain itu, harga petola juga naik daripada RM6 kepada RM9 sekilogram," katanya.

Mamat berkata, harga timun agak stabil apabila dijual antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram.

"Namun, harga kacang panjang juga tidak menentu apabila minggu lalu saya jual RM7 sekilogram, namun minggu ini RM10 sekilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:12 PM