PENIAGA menyusun sayur  di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.
PENIAGA menyusun sayur di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.
Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Harga kacang bendi dan buncis naik RM4 sekilogram kepada RM10 sekilogram berikutan kekurangan bekalan kerana cuti panjang Tahun Baru Cina dan musim hujan berpanjangan.

Itu alasan diberikan peniaga berikutan kenaikan harga sayuran berkenaan. Malah sayur-sayuran lain dan ikan turut mengalami kenaikan.

Bagaimanapun, kenaikan itu dianggap munasabah berikutan keadaan semasa.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar basah di Lembah Klang semalam mendapati bekalan sayur-sayuran berkurangan menyebabkan peniaga menaikkan harga.

Menurut peniaga, antara sayur yang kurang ketika ini adalah bendi dan kacang buncis yang dijual RM10 sekilogram berbanding RM6 sebelum ini.

Peniaga sayur A Ramansendil, 36, berkata, pengedaran bendi dan kacang buncis oleh pembekal yang mengambil bahan itu dari Cameron Highlands tidak beroperasi ketika ini menyebabkan peniaga berdepan kesukaran mendapatkan bekalan sayuran itu.

“Setiap hari harga sayur berubah. Mungkin seminggu lagi baru stabil kerana sekarang pembekal cuti sempena Tahun Baru Cina.

“Selain itu, saya ambil sayuran itu daripada peniaga lain. Bila sudah ambil daripada peniaga lain, harga pun mahal sedikit,” katanya ketika ditemui.

Kenyataan Ramasendil, disokong rakan niaganya dikenali Hamid yang mendakwa berlaku kekurangan bekalan sayur-sayuran sejak minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:34 AM