Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Harga barangan keperluan seperti barangan basah termasuk sayur-sayuran dan ayam masih tidak menentu berikutan mengalami kekurangan bekalan selain kawalan harga daripada pemborong.

Hasil tinjauan yang dilakukan di Pasar Wakaf Che Yeh mendapati harga ayam kini dijual antara RM8 hingga RM9 sekilogram selain harga beberapa jenis sayur turut mengalami penurunan antaranya brokoli yang kini dijual pada harga RM14 sekilogram berbanding RM19 sekilogram sebelum ini selain sawi RM14 sekilogram berbanding RM20 sekilogram sebelum ini.

Bagaimanapun, masih terdapat sayur yang mengalami kenaikan harga antara RM1 sehingga RM8 sekilogram iaitu lada merah yang dijual RM18 sekilogram berbanding RM10 sekilogram, kubis dari RM3 kepada RM5 sekilogram, timun batang dari RM4 kepada RM5 sekilogram, kubis bunga dari RM9 kepada RM18 sekilogram, kacang panjang dari RM6 kepada RM8 sekilogram, dan tomato dari RM4 kepada RM5 sekilogram.

TINJAUAN di Pasar Wakaf Che Yeh mendapati harga barangan sayur-sayuran masih tidak menentu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di Pasar Wakaf Che Yeh mendapati harga barangan sayur-sayuran masih tidak menentu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Peniaga sayur-sayuran Rohanah Daud, 55, berkata, turun naik harga sayuran adalah fenomena biasa terutama ketika mungkin tengkujuh kerana ia bergantung kepada bekalan yang diperoleh.

"Harga sayur naik pada pertengahan September lalu, namun pada Oktober harga sayur mula naik mendadak apabila bekalan yang diambil daripada pemborong dijual pada harga yang agak tinggi, tetapi saya tetap mengambil bekalan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya mengakui ketika musim tengkujuh pada setiap tahun, harga sayuran yang dijual tidak menentu disebabkan oleh faktor cuaca dan kekurangan bekalan selain ia ditetapkan mengikut keadaan semasa, tetapi mujurlah pelanggan memahami kenaikan beberapa harga jenis sayuran yang dijual sedikit mahal berbanding biasa," katanya ketika ditemui di Pasar Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

Manakala seorang lagi peniaga, Mek Kew, 64, berkata, secara keseluruhannya, harga sayur yang dijualnya naik sehingga RM2 sekilogram bergantung kepada jenis sayur-sayuran.

"Kenaikan harga sayuran berlaku disebabkan permintaan yang semakin meningkat, namun bekalan yang agak terhad menyebabkan sesetengah pemborong menaikkan harga bekalan sehingga membebankan peniaga.

"Keadaan turun naik harga barangan yang dijual turut mempengaruhi kehadiran pelanggan di pasar ini dan keadaan itu sekaligus merunsingkan peniaga kerana bahan jualan tidak terjual dan mereka bimbang berdepan risiko kerugian berganda.

"Hampir setiap hari saya mengambil bekalan sayur daripada pembekal di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong yang sememangnya sudah dibeli pada harga yang tinggi, namun saya hanya beli dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan sayur rosak dan menanggung kerugian," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Ismail Salleh, 78, berkata, kenaikan harga ayam bukan sahaja membebankan pengguna, malah peniaga ayam juga tertekan dan terhimpit apabila harga ayam semakin meningkat dan hanya turun beberapa sen sahaja.

"Setakat ini saya tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan ayam memandangkan terdapat ramai pembekal di sekitar Kota Bharu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya berniaga ayam segar sejak lebih 10 tahun lalu dan memang terbiasa dengan fenomena turun naik harga ayam, namun lebih sebulan lalu graf kenaikan harga ayam memang tidak masuk akal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 1:48 PM