ANTARA sayuran yang dijual di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANTARA sayuran yang dijual di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kesan inflasi selain masalah logistik dan kekurangan bekalan dipercayai penyebab berlakunya peningkatan harga barangan mentah di pasaran.

Peniaga yang ditemui ketika tinjauan di Pasar Chow Kit di sini, hari ini mengeluh mengenai peningkatan harga barangan itu dan terpaksa bertahan dengan keuntungan yang tidak seberapa.

Peniaga sayur, Suhaimi Mohd Ali, 50, yang sudah berniaga sejak empat tahun lalu berkata, majoriti barang mentah yang diambil daripada pembekal meningkat 20 peratus sejak sebelum Aidilfitri.

"Harga ditawarkan pembekal tidak menentu, kadang naik kadang turun. Biasanya perbezaan dalam 20 peratus dan selalunya pembekal akan menaikkan harga terutama pada hujung minggu kerana permintaan tinggi selain pada musim perayaan.

"Contohnya, harga semasa cili api ialah RM15 sekilogram berbanding RM12 sebelum raya, manakala timun naik RM1 berbanding dulu hanya RM4 untuk sekilogram.

PENGUNJUNG memilih sayur di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
PENGUNJUNG memilih sayur di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

"Ada juga sayur macam kacang panjang naik dua kali ganda, biasa hanya RM7 kini harganya mencecah RM14 sekilogram," katanya.

Suhaimi mendakwa kekurangan bekalan dan masalah logistik selain kesan inflasi antara faktor mempengaruhi kenaikan harga berkenaan.

"Selalu dengar pembekal cakap pengeluaran kurang, terutama sayur dari Thailand selain masalah penghantaran dan mungkin juga kesan inflasi. Kita pula jual ikut apa kita dapat. Kalau harga pembekal naik, kita terpaksa juga naikkan sedikit harga kepada pembeli.

"Itu belum lagi isu kualiti sayur ikut nasib contoh cili besar kalau kita beli 20 kilogram dengan pembekal pasti dalam dua hingga lima peratus akan dibuang kerana tidak elok atau busuk," katanya.

Peniaga rempah ratus dan bawang, Ana, 44, pula berkata, dia terpaksa mengenakan harga sekadar untuk 'balik modal' sahaja bagi memastikan pengguna tidak terlalu terbeban dengan kenaikan.

"Saya perasan harga makin ketara naik sejak dua hari lalu apabila saya perlu membayar RM55 untuk empat kilogram bawang siam berbanding RM35 sebelum ini, begitu juga dengan bawang holand yang dulu RM28 kini capai RM34.

IKAN dijual di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
IKAN dijual di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

"Tetapi saya masih kekalkan harga lama iaitu RM6 untuk sekilogram bawang siam manakala RM5 sekilogram bawang holand.

"Mungkin akan terus berlaku peningkatan harga lagi selepas ini, tetapi buat masa ini saya hanya jual seadanya dengan untung sekadar 20 ke 30 sen sahaja satu barang," katanya.

Bagi pembantu kedai buah, Hafiz Ismail, 28, kenaikan harga buah-buahan dirasai sejak dua minggu lalu.

"Contoh Epal Fuji kalau dulu sekotak yang mengandungi 88 biji, kita bayar kepada pembekal antara RM90 hingga RM95 tetapi sekarang mencecah RM110 ke RM115 sekotak.

"Sama juga dengan limau dulu RM60 sekotak sekarang mencecah RM85 ke RM100. Kesannya nampaklah orang kurang membeli kerana mungkin bagi mereka mahal tetapi kami tiada pilihan dan sebenarnya harga jual itu kita dapat untung tak banyak mana pun," katanya.

Sementara itu, peniaga ikan, Zul Hafiz,32, berkata, sumber laut tidak mengalami kesan kenaikan harga daripada pembekal dan masih menjualnya pada harga biasa.

"Contohnya Mabong kalau ambil dengan pembekal RM8 sekilogram biasanya kita akan jual kepada pengguna dengan harga RM10.

"Buat masa ini ikan tiada masalah, selalunya harga ikan akan naik ketara apabila musim banjir, tengkujuh atau bulan terang,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 1:10 PM