SAYED Amir sekali lagi akan berdepan tuduhan rasuah RM350,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SAYED Amir sekali lagi akan berdepan tuduhan rasuah RM350,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sekali lagi akan berdepan tuduhan rasuah RM350,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, akan dituduh kerana meminta rasuah berkenaan daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof, empat tahun lalu.

Bekas Setiausaha Politik kepada Hamzah itu yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu akan berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong mengesahkan perkara berkenaan.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini, Zander turut mengesahkan Sayed Amir Muzakkir akan dituduh di Mahkamah Shah Alam esok.

Hari ini, Sayed Amir Muzakkir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, server, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas, di sini jam 4 petang, 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember tahun sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:24 AM