ENG Boon (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD
ENG Boon (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD
Farah Marshita Abdul Patah


AHLI perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM1 juta dan bersubahat memberi rasuah kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tertuduh Datuk Tan Eng Boon, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Azura Alwi.

Eng Boon yang hadir memakai kot kelabu dan seluar hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding yang bermula, jam 2.45 petang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Eng Boon didakwa memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 68, iaitu wang tunai RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan sebagai upah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd).

Perbuatan itu bagi menaikkan ratio plot berkenaan berkaitan pembangunan Lot 288, Jalan Semarak, Kuala Lumpur di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Level 2, Podium Block, PWTC, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 27 Disember 2013.

Dia didakwa mengikut Perenggan 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Eng Boon turut didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan, sebagai penjawat awam iaitu Menteri Persekutuan, menerima untuk dirinya wang tunai berjumlah RM1 juta daripada tertuduh melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tertuduh diketahui sebagai Pengarah Nucleus Properties (kini Paragon City Development) ada perhubungan kerja rasmi dengan Tengku Adnan dan kesalahan itu dilakukan atas persubahatannya di tempat dan tarikh sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib mencadangkan ikat jamin RM3 juta dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Eng Boon dalam rayuannya menerusi peguam Faisal Moideen memohon dibenarkan jaminan antara RM300,000 hingga RM350,000 dengan alasan sudah memberikan kerjasama penuh terhadap SPRM sejak disoal siasat pada 20 Julai lalu.

“Tertuduh juga menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis serta menerima rawatan di Singapura sejak 2005,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM700,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan dan memberi aku janji kepada mahkamah mengenai perancangannya ke luar negara kecuali Singapura dalam tempoh seminggu sebelum perjalanan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:14 PM