Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 bagi membantu syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Faham, mohon dibicara," katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

SAYED Amir Muzzakkir. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SAYED Amir Muzzakkir. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, server, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas, di sini, 4 petang, 4 Disember 2020 dan 3.30 petang, 16 Disember tahun sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:52 AM