Ahmad Hasbi


Seremban: Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan bersubahat menerima suapan berjumlah RM350,000.

Ia sebagai upah untuk membantu melantik sebuah syarikat bagi melakukan kerja naik taraf di Kompleks Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zamry Sulaiman, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersubahat dengan Anuar Md Isa, 54, melakukan suatu kesalahan iaitu secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM350,000 daripada seorang lelaki.

Ia sebagai upah untuk membantu sebuah syarikat dilantik bagi melakukan kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di Kompleks Bangunan Getah Asli, bagi Tetuan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Perbuatan dilakukan di sebuah bank di Senawang, di sini, pada 1 Jun dan 11 Oktober 2022.

Justeru, tertuduh telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan, boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Di kamar sama, Anuar juga mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000 melalui cek ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki bagi tujuan, pada waktu dan tempat sama.

Tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Hukuman boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Dia juga perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Abd Muntaqim Abdul Aziz dan Fatin Farhana Ismail.

Mohd Zamry diwakili Peguam A Ashok dan V Muniandy manakala Peguam Azrul Zulkifli Stork mewakili Anuar.

Sebutan semula kes pada 12 Disember depan bagi kedua-dua tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 12:29 PM
MOHD Zamry (baju hijau) dan Anuar (baju merah jambu) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000, hari ini. FOTO Azrul Edham
MOHD Zamry (baju hijau) dan Anuar (baju merah jambu) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000, hari ini. FOTO Azrul Edham