JENTERA prestasi sah jalanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
JENTERA prestasi sah jalanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Lizam Ridzuan


Tidak dinafkan model ini adalah idaman ramai dan sering menjadi igauan dalam minda buat peminat dan 'kaki kereta' seantero dunia.

Honda Civic Type R mula diperkenalkan pada 1997* yang diasaskan daripada model Civic sama ada dalam siri hot hatchback atau sedan.

Vroom berpeluang memandu uji Honda Civic Type R FL5 generasi keenam yang dilancarkan untuk pasaran tempatan pada September tahun lalu.

Model ini tampil dengan gaya agresif hathcback serta logo Honda dengan warna merah dan logo R membezakannya daripada model standard yang lain.

Ia diinspirasikan daripada model perlumbaan dengan gril hadapan 'sarang lebah' termasuk pada bahagian bawah menambah gaya sporty.

BAHAGIAN belakang serlah elemen dinamik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BAHAGIAN belakang serlah elemen dinamik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Ia juga dilengkapi lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim aloi 19 inici dengan saiz tayar 265/30 dan paling penting pada bahagian belakang dengan Wing Type R dan tiga ekzos pada bahagian tengah sudah cukup menyerlahkan elemen prestasi buat kenderaan ini.

Rekaan yang cukup mengujakan pada luaran ditambah dengan ruang kabin yang melengkapi ciri prestasi buat jentera Type R dengan kerusi hadapan sport dengan logo Type R daripada fabrik Suede-style dengan warna merah cukup menarik perhatian.

Papan pemuka dengan elemen signature Honda seperti corong penyaman udara dilapisi corak honeycomb yang ada juga pada Civic standard dan nombor siri pada hujung sebelah kiri menjadikan ia dengan keunikan tersendiri.

Ia ditambah dengan roda stereng alacantara Type R dengan ciri butang fungsi, kluster meter TFT 10.2 inci dan sistem audio sembilan inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Andoroid Auto menjadikan ia bukan sahaja ciri perlumbaan, malah sesuai sebagai pemanduan harian.

RUANG kabin elemen merah dan hitam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
RUANG kabin elemen merah dan hitam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Ini ditambah lagi dengan ciri kemudahan lain seperti penyaman udara dwi automatik, kerusi belakang lipatan 60:40, ruang but 410 liter, lapan pembesar suara untuk sistem audio yang berkualiti dan dua port pengecas USB.

Cukup dengan rekaan luaran dan dalaman sudah pasti paling utama prestasi pemanduan model Type R ini yang menjadi ciri utama nadi kepada elemen prestasi premiumnya

Ia dijana dengan enjin 1,996 cc 4 silinder, 16 injap DOHC VTEC turbo pacuan roda hadapan yang menjana kuasa 319PS pada 6,500 rpm dan dan tork 420Nm pada 2,600 hingga 4,000 rpm dan ia didatangkan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Menerusi empat mod pemanduan Comfort, Sport, +R dan indivodual penulis boleh memilih ciri kepuasan pengendalian yang tersendiri mengikut 'mood ' pada sesuatu masa itu.

Sudah pasti pecutannya sangat berkuasa dan responsif dengan tukaran gear yang lancar meluncur di lebuh raya adalah 'makanan' buat jentera ini dengan kelajuan maksimum boleh mencecah sehingga 270 kilometer/sejam (km/j).

Ditambah dengan Stereng Kuasa Elektrik (EPS), suspensi gandar hadapan dwi Axis dan belakang Multi-link bukan sahaja menjadikan kenderaan sangat stabil pada kelajuan tinggi malah paling seronok ketika melayan selekoh kerana ketepatannya pada laluan.

ENJIN 2.0 liter VTEC turbo. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ENJIN 2.0 liter VTEC turbo. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Meskipun pada kelajuan tinggi, ia didatangkan dengan brek cakera hadapan dengan angkup Brembo bewarna merah untuk prestasi memberhentikan jentera dengan lebih mantap.

Malah pada kelajuan tinggi kedudukan penulis juga selesa dengan kerusi sport dan posisi pemanduan dinamik membolehkan ia sesuai buat tujuan harian dan berhujung minggu di litar perlumbaan dengan paparan meter +R untuk mengujinya ke tahap maksimum.

Secara keseluruhannya model ini bagi pandangan penulis buat mereka yang meminati pemanduan berprestasi dan dalam masa sama mahukan sebuah kenderaan bagi kegunaan harian.

Ia bukan sahaja menawarkan gaya sporty, malah turut menawarkan elemen kemudahan boleh membawa penumpang dengan selesa termasuk ciri fleksibel dengan kerusi belakang boleh dijatuhkan dengan pintu hatchback yang memudahkan barangan lebih luas dimasukkan ketika perlu.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan elemen keselamatan terbaik dengan 6 beg keselamatan SRS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektrinik (EBD), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) Limited Slip Differential (LSD), Agile Handle Assist (AHA), kamera undur dan lapan ciri Honda Sensing.

Tangki bahan api 47 liter dengan jarak capaian sehingga 340km sahaja dengan purata penggunaan bahan api sekitar 8.8km setiap liter.

Sudah pasti pakej dengan rekaan sporty, ruang kabin ranggi dan enjin prestasi ia didatangkan dengan tanda harga sekitar RM399,900 (atas jalan tanpa insurans) dan hanya ditawarkan dengan satu pilihan warna iaitu putih dan model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:21 AM