SYED Amir Muzzakkir (tengah) bersama laporan polis yang dibuat hari ini. FOTO Sayed Amir Muzzakkir Sayed Mohamad.
SYED Amir Muzzakkir (tengah) bersama laporan polis yang dibuat hari ini. FOTO Sayed Amir Muzzakkir Sayed Mohamad.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Satu laporan polis dibuat ke atas Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam di Balai Polis Travers, di sini, hari ini.

Ia berkaitan satu hantaran dan siaran langsung di Facebook dibuat bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mengaitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setiausaha Politik Hamzah, Sayed Amir Muzzakkir Sayed Mohamad berkata, beliau menyedari hantaran berkenaan ketika berada di kawasan parkir KL Sentral, Ahad lalu.

Katanya, hantaran itu berbunyi 'Hamzah Zainudin Shopping Sakan, Bukan Takat MP Nak Dibeli, Parti Pun Hendak Dibeli, Apakah Keputusan MIC dan MCA?' yang merujuk Ahli Parlimen Larut itu.

"Di dalam hantaran itu, Lokman Noor Adam memfitnah Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menemui Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail dan menawarkan sejumlah harga supaya dia melompat dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kenyataan ini berniat jahat, fitnah, menghasut dan memupuk perasaan benci dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan serta mendatangkan perasaan tidak tenteram rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

"Ia turut memfitnah peribadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dengan tuduhan membeli ahli parlimen," katanya selepas membuat laporan polis itu.

Beliau berkata, rakaman itu turut tular di media sosial di WhatsApp dan Facebook.

Justeru laporan itu dibuat agar pihak berwajib dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Lokman dan mengambil tindakan segera berlandaskan perundangan negara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan menerima laporan itu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia.

"Setakat ini kita menerima tiga laporan berhubung perkara itu," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Datuk Azmi Alias mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah RM10 juta kepada Natrah.

Katanya, beberapa saksi sudah dikenal pasti dan sudah serta akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 10:30 PM