WESTLIFE tampilkan persembahan mantap dan bertenaga walaupun tampil bertiga.
WESTLIFE tampilkan persembahan mantap dan bertenaga walaupun tampil bertiga.
Ramlah Zainal

KUMPULAN Westlife antara penghibur antarabangsa yang menjadi kegilaan serta mempunyai ramai pengikut tegar di negara ini.

Ia terbukti menerusi jualan tiket 'sold out' setiap kali kumpulan pop popular dari Ireland ini mengadakan konsert di sini.

Justeru, tidak hairanlah, Konsert Westlife The Hits Tour 2024 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini, berjaya menarik lebih 5,000 peminat setia kumpulan itu.

Konsert ini susulan kejayaan Konsert The Wild Dreams Tour Live In Kuala Lumpur pada awal tahun lalu.

Dalam konsert yang berlangsung lebih dua jam itu, Westlife berjaya mengubat kerinduan peminat setianya dengan mempersembahkan rangkaian 25 lagu popular serta deretan lagu penyanyi lain.

Bermula dengan lagu klasik seperti My Love, Flying Without Wings sehinggalah lagu yang lebih bertenaga seperti Uptown Girl dan World Of Our Own, Westlife membawa momen yang sukar dilupakan peminatnya pada malam itu.

Mereka juga menyampaikan lagu popular kumpulan Queen secara medley termasuk We Are The Champions yang turut menghangatkan lagi persembahan.

Lagu lain yang dipersembahkan seperti Nothings Gonna Change My Love For You, Starlight, Beautiful In White, What Makes A Man dan More Than Words.

Menurut anggota Westlife, Shane Filan, mereka sudah mengadakan sebanyak 119 konsert dalam tempoh dua tahun menjayakan siri jelajah dunia Westlife The Hits Tour.

"Perasaan dapat bertemu anda semua sangat indah sekali. Banyak kenangan manis kami rasai sepanjang berulang kali ke sini dan banyak negara lain.

"Kami sudah menjayakan sebanyak 119 konsert dalam tempoh dua tahun bermaksud empat, lima persembahan besar setiap bulan.

"Malaysia, we are flying without wings (kami terbang tanpa sayap)," katanya yang disambut tepukan gemuruh penonton.

PERSEMBAHAN Westlife sentiasa mencuri tumpuan peminat.
PERSEMBAHAN Westlife sentiasa mencuri tumpuan peminat.

Selain Shane, kumpulan vokal harmoni itu menampilkan Nicky Byrne dan Kian Egan.

Seorang lagi anggotanya, Mark Feehily tidak dapat turut serta dalam siri jelajah ini kerana masih dalam tempoh pemulihan selepas pembedahan.

Lebih meriah apabila Nicky pula mengajar penonton bermain cahaya menggunakan bahasa Malaysia.

Dia juga meminta penonton mengikut turutan menyalakan lampu telefon bimbit untuk dirakam serta dimuat naik dalam Instagram Westlife.

"Angkat tangan. turun, angkat tangan. turun," katanya sekali gus memeriahkan lagi suasana konsert pada malam itu.

Walaupun hanya tampil bertiga, Shane, Kian dan Nicky tetap menampilkan persembahan mantap dan bertenaga seperti konsert jelajah sebelumnya.

Bagaimanapun, kumpulan itu tetap memberi penghargaan buat Mark yang berdepan masalah kesihatan ketika ini serta meminta penonton turut mendoakan proses pemulihannya pada konsert berkenaan.

Terdahulu, Mark juga berkongsi keputusannya untuk mengutamakan aspek kesihatan dan pembedahan yang dijalankan menerusi Instagram.

Konsert ini adalah sebahagian dari siri jelajah Westlife The Hits Tour yang dianjurkan MMIC Entertainment Group.

Sebelum Malaysia, Westlife sudah menghiburkan peminat di Beijing, Shenzhen, Shanghai di China, disusuli Korea Selatan dan Vietnam.

Menyusul selepas itu, mereka bertemu peminat di Indonesia dan Singapura untuk melengkapkan jelajah di Asia Tenggara.

Tidak dapat dinafikan kumpulan yang dianggotai empat lelaki kacak ini memiliki pengaruh besar serta masih menjadi kegilaan r

amai sehingga kini.

Westlife yang ditubuhkan pada 1998 juga menempa nama menerusi album pertama berjudul Westlife yang diterbitkan pada 1999.

Keseluruhan album Westlife mencatat jualan 55 juta unit di seluruh dunia, mengumpul lebih tiga bilion aliran global, melepasi satu bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia.

Tidak ketinggalan, Westlife turut menerima pelbagai anugerah antaranya World Music Award, Brit Awards, MTV Awards dan empat kali mengungguli trofi Record of the Year Awards pada 1999, 2000, 2003 dan 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:00 AM