Pendakwaan memohon kes Abdul Azeez dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. FOTO Arkib NSTP
Pendakwaan memohon kes Abdul Azeez dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. FOTO Arkib NSTP
Nor Azura Abdul Jalil


PERBICARAAN kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya Datuk Abdul Latif yang sepatutnya bermula hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditangguhkan berikutan pihak pendakwaan memohon memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan pendakwaan memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi 19 September lalu.

“Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 2 Oktober ini untuk pengurusan kes,” katanya.

Sehubungan itu pendakwaan memohon supaya perbicaraan kes ditangguhkan sehingga Mahkamah Tinggi mendengar permohonan mereka untuk memindahkan kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Oktober ini untuk pengurusan kes dan memerintahkan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah perkembangan terkini mengenai permohonan itu.

Peguam Hisham Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez dan Abdul Latif mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 16 Januari lalu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta sejak 2010.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 hingga 10 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang antara 2010 hingga 2018.

Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Abang Abdul Azeez, Abdul Latif, 61, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 12:24 PM