DUA suspek ceroboh Stesen Suis Utama (SSU) Makmal Sementara TNB ditahan polis. FOTO Ihsan IPD Melaka Tengah
DUA suspek ceroboh Stesen Suis Utama (SSU) Makmal Sementara TNB ditahan polis. FOTO Ihsan IPD Melaka Tengah
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Dua lelaki dicekup polis selepas menceroboh Stesen Suis Utama (SSU) Makmal Sementara milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan TU 2, Taman Tasek Utama Ayer Keroh di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 47 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari oleh sepasukan lapan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Ayer Keroh, yang menjalankan siasatan dan pemeriksaan selepas menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, polis turut dibantu lima kakitangan TNB dan dua polis bantuan TNB dalam operasi itu.

"Hasil pemeriksaan di seluruh kawasan terbabit, polis mengesan dua lelaki yang bersembunyi di dalam bangunan makmal sementara dan menahan mereka serta merampas sebuah beg galas.

"Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Ayer Keroh untuk tindakan lanjut dan hasil pemeriksaan pada beg galas itu menemukan peralatan iaitu alat pemotong besi, gergaji besi, alat pemotong dawai dan pemutar skru dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah," katanya dihubungi di sini.

Christoper berkata, hasil semakan Sistem Laporan Polis Bersepadu mendapati suspek berusia 47 tahun mempunyai 23 rekod lampau jenayah dan dadah, termasuk tiga masih dikehendaki bersangkut laporan polis di Tampin Negeri Sembilan, Batu Berendam dan Machap Baru.

Katanya, kedua-dua lelaki itu sudah berkahwin, dengan suspek pertama seorang penganggur manakala suspek berusia 39 tahun bekerja di pasar borong.

"Semakan juga mendapati suspek kedua memiliki tujuh rekod jenayah dan dadah serta dikehendaki bersangkut bersangkut kes Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Jasin.

"Ujian awal air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah methamphetamine dan polis akan memohon lanjutan reman yang berakhir hari ini bagi siasatan lanjut," katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana ceroboh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 8:53 AM