Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seramai 20 suspek yang terbabit jenayah pecah rumah dan curi membabitkan kerugian kira-kira RM500,000 diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi Op Pintu bermula 1 Januari hingga 22 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia antara 22 hingga 57 tahun itu diberkas di beberapa lokasi di sekitar daerah itu.

Menurutnya, 18 orang daripada keseluruhan suspek menganggotai lima kumpulan jenayah iaitu Geng Micheal, Geng Ruben, Geng Zahid, Geng Botak dan Geng ADC.

"Geng Michael ini terdiri daripada dua orang manakala Geng Ruben dianggotai tiga orang yang ditahan pada Januari lalu kerana melakukan jenayah pecah stor kilang.

"Modus operandi mereka adalah menggunakan peralatan seperti kuku kambing, pemotong, gergaji besi, batang besi, kayu dan pemutar skru untuk memecah stor kilang antara jam 1 hingga 5 pagi," katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.

Christopher berkata, kumpulan kedua ditumpaskan adalah Geng Zahid dan Geng Botak masing-masing dianggotai dua dan tiga lelaki terbabit jenayah pecah tabung rumah ibadat yang diberkas pada Februari dan Mei lalu.

"Selain itu, polis menahan tujuh Geng ADC terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita yang melakukan pecah rumah serta mencuri kenderaan.

"Mereka ini bergerak menggunakan kereta curi dan melakukan jenayah antara jam 1 hingga 5 pagi," katanya memaklumkan dua individu dikenali Yazmi Solo dan Spider Solo turut diberkas atas jenayah sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan jenayah dilakukan suspek di kawasan Melaka Tengah, Banda Hilir, Batu Berendam, Tanjung Minyak, Ayer Keroh, Bukit Baru, Batang Tiga, Kandang dan Malim.

"Dengan penahanan semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 49 kes, yang mana masing-masing sembilan dituduh mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) iaitu pecah rumah dan curi dalam bangunan.

"Tiga didakwa mengikut Seksyen 411 KK iaitu melupuskan barangan curi, Seksyen 447 KK (seorang) dan Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1952 (empat orang)," katanya.

Christoper berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat peningkatan kes jenayah di daerah itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

CHRISTHOPER pada sidang media kejayaan BSJD IPD Melaka Tengah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
CHRISTHOPER pada sidang media kejayaan BSJD IPD Melaka Tengah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 1:42 PM