Mayat pemancing yang ditemukan lemas di Tasik Pedu pada hari keempat mangsa dilaporkan hilang. NSTP/IHSAN BOMBA
Mayat pemancing yang ditemukan lemas di Tasik Pedu pada hari keempat mangsa dilaporkan hilang. NSTP/IHSAN BOMBA
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: Pemancing yang dilaporkan hilang di Empangan Tasik Pedu sejak Khamis lalu ditemukan mati lemas hari ini.

Mayat Ooi Swee Hin berusia ,41, ditemukan pada 8.05 pagi oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, mayat ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi bot dinaiki mangsa terbalik.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

"Penemuan mayat ini sudah dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, mangsa ditemui pada jam 8.05 pagi ketika operasi permukaan air dilakukan oleh bot bomba.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR dilakukan dengan kekuatan seramai 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Jitra serta Unit Anjing Pengesan K-19 JBPM dan dibantu Polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Hutan daerah Padang Terap.

Beliau berkata, operasi SAR sebelum ini mengalami kesukaran kerana terdapat tunggul kayu di dasar yang boleh membahayakan anggota PPDA untuk menyelam sehingga ke dasar.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki masih hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik ketika memancing di Empangan Tasik Pedu di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, rakannya berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari kejadian itu sebelum pihak bomba tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 12:32 PM