Mayat kedua kanak-kanak lelaki yang hilang di lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu ditemui lemas. FOTO IHSAN BOMBA
Mayat kedua kanak-kanak lelaki yang hilang di lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu ditemui lemas. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Mayat kedua kanak-kanak lelaki etnik Rohingya yang hilang selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu semalam ditemui lemas hari ini.

Mayat Mohd Nasim Belal Hussain, 6, ditemui pada 2.45 petang selepas mayat adiknya, Mamod Shukur, 4, ditemui pasukan penyelamat jam 8.05 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota polis, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke hospital dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim berkata, mayat mangsa kedua ditemui pada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba pada jarak 15 meter dari tebing lombong dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui lemas manakala abangnya berusia enam tahun masih hilang selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, semalam.

Pasukan Bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.43 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 4:35 PM