Sekitar lokasi kejadian seorang lelaki  yang lemas selepas terjatuh dari bot manakala rakanya selamat di Empangan Tasik Pedu ketika memancing semalam. FOTO WAN NABIL NASIR
Sekitar lokasi kejadian seorang lelaki yang lemas selepas terjatuh dari bot manakala rakanya selamat di Empangan Tasik Pedu ketika memancing semalam. FOTO WAN NABIL NASIR
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: "Saya nampak mangsa berpaut pada tunggul kayu sambil melambai meminta tolong dan saya yang ketika itu cuba menghampiri bot untuk membantu menyelamatkannya.

"Saya tanya dia (mangsa) mana kawan seorang lagi, dia beritahu rakannya terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan," kata Ismail Abdullah, 39.

Ismail adalah tekong bot dari Pengkalan Charuk Batang Padi menceritakan semula detik cemas ketika dia menyelamatkan seorang lelaki berusia 55 tahun yang hampir lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya itu terbalik sewaktu ribut di Empangan Tasik Pedu, di sini, petang semalam.

Bagaimanapun rakan mangsa yang berusia 41 tahun itu masih hilang.

Menurut Ismail, sebelum kejadian dia melihat lelaki itu dan rakannya menaiki sebuah bot dan mereka dalam perjalanan menuju ke hulu tasik.

Bagaimanapun, ketika itu berlaku kejadian ribut dan hujan lebat menyebabkan dia yang membawa seorang pelanggan menaiki bot ketika itu mencari tempat perlindungan.

"Ketika itu, jarak saya dengan bot yang dinaiki mereka agak kira-kira lima kilometer tetapi masih di laluan sama.

"Namun selepas hujan dan ribut reda, saya meneruskan perjalanan di tasik itu sebelum ternampak lelaki itu berpaut pada tunggul kayu dalam keadaan lemah.

"Bot yang mereka naiki itu pula hanyut kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ismail berkata, mangsa dipercayai berpaut pada tunggul kayu itu lebih sejam sebelum diselamatkan dan mereka kemudian menghubungi polis dan bomba untuk memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Sungai Petani.

Beliau berkata, lokasi kejadian dipercayai 6.6 kilometer dari tebing tasik berkenaan.

"Kita mengalami kesukaran untuk menyelam terlalu dalam kerana terdapat tunggul kayu di dasar yang boleh membahayakan anggota PPDA untuk menyelam," katanya.

Ahmad Aminudin berkata, pihaknya turut memohon bantuan daripada unit anjing pengesan (K-9) JBPM untuk membantu operasi SAR ini selain keseluruhan anggota penyelamat dari pelbagai agensi terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) adalah seramai 50 anggota.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki masih hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik ketika memancing di Empangan Tasik Pedu, di sini semalam.

Bagaimanapun, rakannya berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari kejadian itu sebelum bomba sampai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 4:03 PM