EMPAT sekeluarga yang berjaya diselamatkan dari lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di tengah Tasik PEDU. FOTO Ihsan PDRM
EMPAT sekeluarga yang berjaya diselamatkan dari lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di tengah Tasik PEDU. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


EMPAT sekeluarga termasuk tiga beranak terselamat apabila bot dinaiki mereka untuk memancing terbalik di Tasik Pedu dekat Padang Terap, hari ini.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari, mereka terdiri Mohd Zamri Mokhtar, 45, dan dua anaknya, Mohd Adib, 19, dan Mohd Azim, 17, serta adik ipar Zamri, Zulkiffli Abdullah, 32, diselamatkan sebuah bot lain.

Terdahulu, mereka dari Kuala Nerang dikatakan pergi ke Pulau Pokka, Tasik Pedu pada 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.45 tengahari berhubung sebuah bot terbalik di Tasik Pedu.

Menurutnya, anggotanya bersama enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang bersama penduduk kampung menghala ke jeti Charuk Batang Padi, Pedu.

“Pihak polis turut menghubungi isteri Mohd Zamri yang memaklumkan suaminya pergi ke Pulau Pokka bersama dua anak mereka dan adiknya menggunakan bot sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Noh berkata, bot yang dinaiki mereka dipercayai terbalik di tengah tasik ketika dalam perjalanan pulang.

Katanya, kesemua mereka bernasib baik apabila diselamatkan sebuah bot pemancing lain yang melalui tempat kejadian kira-kira jam 1 tengah hari.

“Kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati bot terbabit dipercayai terbalik disebabkan terlanggar tunggul kayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 9:21 PM