ANTARA warga Indonesia yang ditahan dalam Op Pintas Transit Migran di sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor, awal pagi tadi. FOTO Ihsan polis
ANTARA warga Indonesia yang ditahan dalam Op Pintas Transit Migran di sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor, awal pagi tadi. FOTO Ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan satu sindiket penyeludupan migran menerusi jalan laut, terbongkar selepas sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor, yang dijadikan sebagai tempat transit mereka diserbu pihak berkuasa, awal pagi tadi.

Serbuan Op Pintas Transit Migran itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, 1.30 pagi.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menahan 20 migran warga Indonesia atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

"Seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.

"Lapan lagi warga Indonesia termasuk tiga wanita berusia antara 22 hingga 42 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Selain itu, 11 lagi warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Soffian berkata, fokus operasi itu adalah mengenal migran yang memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan iaitu menerusi jalan laut.

"Siasatan awal dilakukan mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat transit atau rumah penampungan migran, yang keluar dan masuk ke Malaysia melalui jalan laut secara haram.

"Kita percaya sindiket terbabit sudah beroperasi kira-kira seminggu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 9:37 AM