POLIS menyerbu sebuah rumah dijadikan transit penampungan migran yang keluar dan masuk ke negara ini melalui jalan laut dengan menahan 29 orang warga Indonesia Selasa lalu. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menyerbu sebuah rumah dijadikan transit penampungan migran yang keluar dan masuk ke negara ini melalui jalan laut dengan menahan 29 orang warga Indonesia Selasa lalu. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah rumah dijadikan transit penampungan migran yang keluar masuk ke negara ini melalui jalan laut dengan menahan 29 warga Indonesia, Selasa lalu.

Menurut sumber, Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Besar Kampung Perenggan, Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam, di sini.

"Fokus operasi adalah pengenalpastian migran yang memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu melalui jalan laut.

"Hasil pemeriksaan dan serbuan berjaya membuat tangkapan seramai 29 migran warga Indonesia yang melanggar pelbagai kesalahan," katanya.

Sumber berkata, dua lelaki penjaga rumah penampungan manakala 27 lagi ditahan terdiri 20 wanita dan tujuh lelaki berusia 22 hingga 42 tahun.

"Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63.

"Premis serbuan adalah sebuah rumah yang dijadikan tempat transit atau rumah penampungan migran yang keluar dan masuk ke Malaysia melalui jalan laut yang tidak diwartakan serta dipercayai beroperasi lebih kurang selama dua bulan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan tangkapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 3:43 PM