Warga Indonesia yang ditahan petang semalam. FOTO ihsan PPM
Warga Indonesia yang ditahan petang semalam. FOTO ihsan PPM
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Sabak Bernam: Seramai 12 warga Indonesia termasuk kanak-kanak perempuan berusia setahun ditahan sepasukan polis di rumah di jeti nelayan Kampung Baru Parit 5, yang dijadikan rumah transit untuk pulang ke Indonesia, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, turut ditahan dalam operasi pada 12.30 tengah malam itu, lelaki dipercayai ahli sindiket yang menjadi orang tengah membawa mereka keluar dari negara ini.

"Seramai 11 warga asing terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah manakala ahli sindiket berkenaan pula tinggal di negara ini dengan dokumen perjalanan tamat tempoh.

"Mereka ditempatkan di rumah berkenaan sebelum menaiki sebuah bot ke Indonesia dengan bayaran tertentu. Kebiasaannya mereka akan bergerak ke Indonesia pada tengah malam atau awal pagi," katanya.

Katanya, semua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26 (H) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 4:58 PM