Pengarah JPJ JOHOR, Azmil Zainal Adnan ketika Operasi Khas Pengangkutan Hari Raya Aidiladha di Plaza Tol Skudai, arah selatan di sini, semalam. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Pengarah JPJ JOHOR, Azmil Zainal Adnan ketika Operasi Khas Pengangkutan Hari Raya Aidiladha di Plaza Tol Skudai, arah selatan di sini, semalam. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sebahagian besar penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2024 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor baru-baru ini memberi alasan masalah kewangan punca mereka tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, sebanyak 14,536 saman bagi pelbagai kesalahan dikeluarkan susulan pemeriksaan yang dilakukan terhadap 90,280 kenderaan sepanjang operasi khas itu bermula 1 Jun lalu hingga semalam.

Katanya, jumlah saman itu menunjukkan tahap kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya terutamanya membabitkan kenderaan persendirian masih rendah.

"Daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, kesalahan tertinggi membabitkan 3,691 saman ialah tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Mereka yang melakukan kesalahan itu kebanyakannya adalah penunggang motosikal yang mana mereka memberi alasan berdepan masalah kewangan kenapa mereka tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya ketika sidang media pada Operasi Khas Pengangkutan Hari Raya Aidiladha di Plaza Tol Skudai, arah selatan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Azmil berkata operasi khas yang dilaksanakan sehingga 30 Jun ini, pihaknya turut mengesan sebanyak 2,551 kesalahan gagal memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Malaysia (LKM) dan 2,238 kesalahan tiada perlindungan insurans.

Katanya, seramai 818 pemandu dikenakan tindakan saman kerana memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi.

"Mereka dikesan melanggar sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kepada kemalangan maut.

"Kita juga kenal pasti sembilan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, potong garisan berkembar, guna telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya yang menjadi punca kepada kemalangan maut yang berlaku.

"Kita turut mengesan dan membuat sitaaan terhadap 360 kenderaan atas kesalahan tidak selamat atau tidak layak untuk berada di jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 2:08 PM