MOHAMMAD Hafiz (dua dari kiri) dan beberapa pegawai serta anggota JPJ menahan kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Fancy. FOTO Bernama
MOHAMMAD Hafiz (dua dari kiri) dan beberapa pegawai serta anggota JPJ menahan kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Fancy. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Sebanyak 662 notis saman dikeluarkan pelbagai kesalahan menerusi Operasi Fancy (Op Fancy) yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Batu 9, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula 4 petang semalam, seramai 139 pegawai dan anggota daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak Lebuhraya Grand Saga terbabit.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Mohamad Hafiz Usman berkata, sebanyak 3,478 kenderaan diperiksa dalam operasi itu.

"Daripada jumlah itu, 418 kenderaan diambil tindakan membabitkan 48 lori, 60 kereta dan 310 motosikal.

"Kami mengeluarkan 662 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu iaitu 263 saman, tiada insurans kenderaan (25), kesalahan teknikal (44) serta lain-lain kesalahan (155)," katanya pada sidang media di lokasi operasi, di sini, malam tadi.

Mohamad Hafiz berkata, pihaknya turut menyita tujuh kenderaan membabitkan dua lori, satu kereta dan empat motosikal dalam operasi itu.

"Selain itu, AADK turut menahan 11 individu yang didapati positif pelbagai jenis dadah," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya menjalankan tujuh operasi iaitu Op Patuh, Op Tutup, Op Motosikal, Op Pewa, Op Teknikal, Op Kenderaan Barangan dan Op Bersepadu (Ambang Merdeka) bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

"Berdasarkan operasi dilaksanakan itu, kami mengenal pasti beberapa kesalahan yang kerap dilakukan pengguna jalan raya di negeri ini termasuk kesalahan teknikal seperti cermin gelap, lampu HID (High Intensity Discharge), langgar lampu isyarat, tiada cermin sisi serta tayar haus berlebihan.

"Selain itu, kami juga mengesan kesalahan lain dilakukan pengguna jalan raya seperti meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan, tiada segi tiga, menghalang lalu lintas, tidak selenggara kenderaan dan tidak memberi kerjasama ketika ditahan anggota penguat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 12:05 AM