Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap 334 penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina yang berakhir tengah malam tadi.

Kesalahan paling banyak dilakukan adalah menunggang tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata, operasi itu yang dilakukan bersama agensi penguat kuasa lain berlangsung mulai 8 malam di Plaza Tol Juru dan Jambatan Pulau Pinang di sini.

Katanya, pihaknya turut mengambil tindakan mahkamah ke atas dua individu yang menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran palsu, tiada perlindungan insurans, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

"Siasatan kita mendapati salah satu penunggang menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan tujuan ingin mengelak daripada membayar hutang pinjaman bank, sekali gus menjejaskan pemilik asal.

Penguatkuasa JPJ Pulau Pinang melakukan pemeriksaan ketika Ops Khas Motosikal sempena Ops Tahun Baru Cina 2022 di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD
Penguatkuasa JPJ Pulau Pinang melakukan pemeriksaan ketika Ops Khas Motosikal sempena Ops Tahun Baru Cina 2022 di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Menggunakan nombor pendaftaran ini yang kesalahan ini amat serius dan perlu dibawa ke mahkamah," katanya yang ditemui selepas operasi berakhir.

Adenan berkata, keseluruhannya 538 motosikal diperiksa dengan 334 daripadanya diambil tindakan, manakala 369 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Agensi penguat kuasa lain yang turut serta dalam operasi itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut Adenan, seorang penunggang positif dadah dalam ujian saringan yang dilakukan AADK ke atas 15 individu, sementara PDRM menyaman 35 penunggang dan JAS mengeluarkan notis ke atas sembilan orang kerana bunyi bising motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 10:46 AM