Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sepatutnya menutup mulut sekiranya tidak tahu apa-apa berkait draf perjanjian dengan pembangkang, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu turut menyindir Ketua Armada Bersatu berkenaan yang berkemungkinan sudah mencetak draf perjanjiannya sendiri mengambil kira cadangan pernah dikemukakan olehnya sebelum ini agar negara ini mencetak wang bagi menyelesaikan masalah ekonomi.

"Saya tak pasti sama ada Ahli Parlimen Machang cetak draf dia sendiri sebab sebelum ini dia pernah kata untuk menyelesaikan masalah ekonomi, kita kena cetak wang.

"Secara seriusnya, saya sudah semak dengan Pejabat Perdana Menteri (iaitu) Ketua Setiausaha Politik (Perdana Menteri) tidak ada memberikan apa-apa draf.

"Beberapa orang setiausaha politik juga saya sudah hubungi dan setakat ini tidak ada (penyerahan draf perjanjian)," katanya pada sidang medianya di Pusat Media Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Wan Ahmad Fayhsal bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyerahkan draf perjanjian melalui wakilnya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, perkara itu tidak diketahui sesiapa termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang semalam menafikan kewujudan dokumen terbabit.

Mengulas lanjut, Fahmi percaya, Wan Ahmad Fayhsal berasa terpanggil untuk menyelamatkan keadaan berkait perjanjian itu.

"Kerana yang disebut oleh Ketua Pembangkang dalam Parlimen pada hari Khamis lalu ialah ada draf.

"Tetapi Timbalan Perdana Menteri yang duduk bersama dengan Ketua Pembangkang, apabila beliau melaporkan kepada Kabinet menyatakan tidak ada sebarang draf dan perkara ini sudah disahkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Jadi, sekiranya ada draf yang telah diberikan kononnya oleh wakil Perdana Menteri, persoalannya kenapa tidak dibangkitkan dalam pertemuan bersama dengan Timbalan Perdana Menteri? Itulah saluran rasmi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:57 PM