FADILLAH bersama anak yatim dan pelajar tahfiz pada Program Iftar Bersama Anak Yatim dan Tahfiz di Masjid Al-Ghazali. FOTO Bernama
FADILLAH bersama anak yatim dan pelajar tahfiz pada Program Iftar Bersama Anak Yatim dan Tahfiz di Masjid Al-Ghazali. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan wujudnya draf perjanjian baharu Kerajaan Madani seperti didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.

Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, beliau tidak menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 19 Mac lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan di Parlimen itu, beliau hanya mendengar permohonan PN dan mendengar apa yang mereka tawarkan.

"Tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima, justeru tidak wujud satu dokumen 'draf perjanjian' di antara Kerajaan Madani dan Pembangkang seperti dakwa," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Fadillah turut mempersoalkan dakwaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengenai draf berkenaan.

"Adakah YB Rosol sudah lihat 'draf' itu? Jika belum, mintalah 'draf' itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat 'draf' itu wujud atau tidak," katanya.

Menurutnya lagi, dalam pertemuan bersama wakil-wakil Pembangkang minggu lalu, tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan Madani mahupun pihak pembangkang.

"Ia sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran mereka. Malah tiada perbincangan mengenai 'perjanjian' pun," katanya.

Pada 22 Mac lepas, Hamzah berkata pihaknya sudah menerima draf dokumen yang memperinci perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil turut menafikan kenyataan Hamzah berhubung perkara tersebut dan mengesahkan pertemuan Fadillah dengan Ketua Pembangkang itu hanya untuk mendengar pandangan mereka.

Menteri Komunikasi itu berkata Kerajaan Perpaduan telah meneliti perbincangan tersebut dan dijangka membuat tindakan susulan termasuk mengadakan perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan Kerajaan MADANI yang akan diadakan nanti.

"Buat masa ini, kita tidak dapat sesuatu yang substantif daripada pihak pembangkang jadi kita kena go back to the drawing board.

"Jika ada Ahli Parlimen pembangkang yang merasakan perbincangan ini agak lambat, jangan salahkan kerajaan, (mereka) kena tanya kepada Ketua Pembangkang kenapa ia lambat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Ramadan CSR dan Iftar Perdana Lembah Pantai bersama Foodpanda Malaysia serta rakan kolaborasi di IWK Eco Park@Pantai Dalam di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 8:49 PM