TAN Sri Razarudin Husain, menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
TAN Sri Razarudin Husain, menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung tuduhan terhadap bekas Pengerusi PKR Perak, Datuk Farhash Wafa Salvador didakwa menjadi dalang menarik Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) beralih arah menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima satu laporan yang dibuat oleh Farhash.

"Kita (polis) sudah menerima laporan dari Farhash dan kami sudah memulakan siasatan," katanya.

Selasa lalu, Farhash dilaporkan berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana menuduh beliau terbabit merasuah dan mengancam Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, Farhash yang juga bekas pegawai Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan Wan Fayhsal dan berkata, beliau tidak lagi terbabit dengan politik.

Wan Fayhsal berkata beliau mengalu-alukan Fashash membuat laporan polis terhadapnya kerana beliau hanya mengulangi dakwaan dalam laporan polis yang dibuat Pemuda Bersatu sebelum ini.

Ahli Parlimen Machang itu sebelum ini mendakwa Farhash dan seorang lagi individu dikenali sebagai "Datuk Botak" adalah individu dalam satu video yang tersebar di Facebook dan TikTok.

Ini susulan tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang baru-baru ini menyatakan sokongan kepada kerajaan dengan alasan untuk mendapatkan peruntukan untuk kawasan masing-masing.

Empat Ahli Parlimen Bersatu itu adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 4:50 PM