Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat petang ini kecoh berikutan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengambil kesempatan mengutuk tindakan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) yang mengumumkan sokongan secara terbuka kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan (No 2) 2023 tergendala selama kira-kira 20 minit selepas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mendakwa Syed Abu Hussin Hafiz mengambil keputusan sedemikian kerana ada agenda tersembunyi.

"Kita banyak terbabit dengan 'black economy' (ekonomi gelap), ia menyebabkan kita hilang punca pendapatan seperti yang berlaku terhadap Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz).

"Dia ada masalah, nak lobi supaya projeknya yang dibekalkan kepada tentera disambung. Disebabkan itu, dia cari 'payung' untuk berlindung. Jadi dia sekarang lompat sana sini, dia pernah jadi (Ahli Parlimen) UMNO, Bebas dan lepas itu melutut kepada Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk jadi calon. Kita (BERSATU) pun percaya pada dia," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mempersoalkan mengenai pendedahan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit dan meminta supaya Awang menarik balik kenyataan berkenaan yang disifatkan satu sangkaan jahat.

Beliau turut memberitahu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, bahawa tindakan Awang itu bertentangan dengan Peraturan 36 (6), iaitu seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas mana-mana ahli lain.

"Standing order 36 (6), sangkaan jahat dan melakukan serangan terhadap Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz). Perbahasan melencong tak ada kena-mengena dengan subjek dibahaskan. Memang beliau (Syed Abu Hussin Hafiz) bukan dari blok kerajaan, tetapi saya terpanggil untuk pertahankan beliau kerana dia (dikecam) ketika tiada dalam dewan.

"Dulu bersama tak serang pula, kenyataan melutut (kepada Tan Sri Muhyiddin) dikeluarkan, merendahkan martabat dan penghormatan seseorang, semata-mata beliau tidak sokong yang sebelah sana.

"Jadi saya mohon kenyataan itu ditarik balik dan saya juga minta tuan speaker buat 'ruling' atas perkara ini," katanya.

AWANG (atas, kiri), RSN Rayer (atas, kanan) dan  Ramli (bawah, kiri) di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
AWANG (atas, kiri), RSN Rayer (atas, kanan) dan Ramli (bawah, kiri) di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia

Berikutan kekecohan itu, Ramli kemudian memberi ruang untuk Awang membela diri.

Awang berkata, beliau mendedahkan 'agenda' Syed Abu Hussin Hafiz kerana Ahli Parlimen itu sendiri secara terbuka tampil mengumumkan beralih sokongan dalam Dewan Rakyat.

Namun, Ramli kemudian meminta Awang menarik balik kenyataan terbabit kerana ia jelas satu sangkaan, mengambil kira Syed Abu Hussin Hafiz tiada di dalam Dewan untuk membela diri.

Seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sebelum memulakan perbahasannya turut mengecam tindakan Syed Abu Hussin Hafiz yang didakwa sebagai tidak bermaruah.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Bukit Gantang. Ini satu perbuatan tidak bermaruah oleh Ahli Parlimen kami yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, kononnya demi peruntukan untuk kawasannya. Rupanya seperti apa diperkatakan Pendang (Awang) ada benda lain.

"Saya seru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat dakwaan yang Pendang perkatakan tadi," katanya.

Pagi tadi, Syed Abu Hussin Hafiz menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada BERSATU yang menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri.

Beliau mengumumkannya secara terbuka pagi tadi pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 5:49 PM