Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membangkitkan persoalan sekiranya mereka 'dibisukan' di dalam Dewan Rakyat dengan tidak boleh mengkritik kerajaan, bagaimana mahu membicarakan soal rakyat selepas usul tergempar keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditolak.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu turut memberikan contoh pada tahun 2015, 70 Ahli Parlimen yang dahulunya berada di blok pembangkang dan kini berada di kedudukan kerajaan membangkitkan semua perkara seperti keputusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serangan terhadap Peguam Negara pada waktu itu.

"70 Ahli Parlimen dalam dewan ini di blok pembangkang yang ingin bicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, sebelum itu keputusan 1MDB, serangan ke atas Peguam Negara semua boleh mereka bangkitkan (tetapi) kini berada di kedudukan kerajaan, hipokrit," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam usul tergempar yang dibawa oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai keputusan mahkamah Ahmad Zahid ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut menuduh kerajaan telah melakukan pembohongan terbesar di peringkat nasional berkait isu mahu melawan rasuah.

"Kerana realitinya ini adalah pembohongan terbesar peringkat nasional sebelum (ini) kata nak lawan rasuah, takkan gugurkan kes, akan penjarakan kleptrokrat (tapi) hari ini membebaskan mereka," katanya.

Terdahulu beberapa ahli parlimen turut membangkitkan persoalan mengenai usul tergempar yang dibawakan oleh Wan Ahmad Fahysal.

Antaranya Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang meminta kerajaan untuk meletakkan hala tuju terhadap 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid.

"Saya minta kerajaan meletakkan hala tuju kepada 47 kes ini sama ada kerajaan nak tarik terus atau kerajaan nak dakwa semula dan sebagainya," katanya.

Shahidan dalam dalam masa yang sama turut mengucapkan tahniah terhadap Syed Saddiq dan menggelarkan beliau sebagai hero rakyat Malaysia susulan penarikan diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan dan memilih menjadi pembangkang.

"Saya nak ucap tahniah kepada Muar, hero rakyat Malaysia sekarang adalah Muar," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 11:40 AM