Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Beberapa individu termasuk pengurusan kedai serbaneka, KK Super Mart, akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' yang tular.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.

"Siasatan sedang dijalankan, kita semua akan panggil saksi-saksi berkaitan dengan kes ini," katanya dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan akan terus menjalankan siasatan berhubung penjualan stokin yang tertera kalimah Allah.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Super Mart dan vendornya.

Kata Shamsul Anuar, ia bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengingatkan, pihaknya tidak akan kompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi raja).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau isu sebegini demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mencetuskan provokasi yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sabtu lalu, pengurusan tertinggi KK Super Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking tertera tulisan Allah di sebuah daripada cawangannya di Petaling Jaya, selepas ia tular di media sosial.

Selain itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai 'Ricky Shane CA' turut tampil membuat permohonan maaf selepas dipercayai membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah dalam isu stoking terbabit.

Lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 2:47 PM