Raja Noraina Raja Rahim dan Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Tindakan tegas akan diambil terhadap KK Super Mart berhubung isu kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu terbabit.

"Seperti mana harapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya tindakan keras diambil, kita mengarahkan siasatan dijalankan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga memaklumkan siasatan tetap diteruskan walaupun permohonan maaf sudah dibuat.

"Kita mengharapkan apabila siasatan ini dilakukan dan pihak bersalah ditemui, maka tindakan keras seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong perlu dilaksanakan sebagai pengajaran.

"Tuanku pada pembukaan Parlimen sebelum ini menitahkan isu 3R (raja, kaum, agama) tidak disentuh, jadi pengilang, pembekal, kedai dan sebagainya perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan mengagihkan pek Ramadan di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Na'im berkata, isu kalimah Allah di stoking bukan isu remeh kerana ia adalah kalimah suci kepada umat Islam dan perlu difahami oleh setiap masyarakat di negara ini.

Menurutnya, Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum harus membina perpaduan dan tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian.

"Apabila baca komen netizen (media sosial) bertanya kenapa kalimah Allah letak dekat stoking nak diperbesarkan.

"Saya nak tekankan perkara ini sangat besar, jadi kemungkinan kurang faham orang bukan Islam mengenai sensitiviti agama," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan Jakim dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memperluaskan maklumat dan mendidik orang bukan Islam supaya mereka mengerti kalimah Allah sangat suci dalam kalangan orang Islam.

Akhbar hari ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka dan menitahkan tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap pihak yang didapati bersalah dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka terbabit.

Sultan Ibrahim menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi bertitah kalimah Allah dipandang sangat tinggi dalam sanubari umat Islam, dan tidak sepatutnya timbul perkara yang boleh membangkitkan kemarahan terutamanya dalam bulan Ramadan.

Ia selepas video dan tangkap layar gambar stoking berkenaan tular di media sosial pada minggu lalu yang didakwa dijual di kedai serbaneka di Bandar Sunway, Selangor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pihak terbabit kemudian membuat permohonan maaf dan polis setakat kelmarin mengesahkan membuka dua kertas siasatan dan menerima 42 laporan polis dari seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika majlis penyampaian pek Ramadan kepada Editorial NSTP di Balai Berita Bangsar. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika majlis penyampaian pek Ramadan kepada Editorial NSTP di Balai Berita Bangsar. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 2:09 PM