KEADAAN restoran yang musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN restoran yang musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Saya baru sahaja ingin menjamah roti canai sebelum terdengar bunyi letupan di bahagian dapur kedai," kata Muhaimin Ahmad, 39.

Dia adalah pelanggan sebuah restoran di Jalan Bangsar Utama di sini, yang terbabit dalam kebakaran pada 11.30 pagi, hari ini.

Muhaimin berkata, dia bersama rakannya sedang menjamu selera di restoran berkenaan sebelum letupan di bahagian dapur berlaku.

"Ketika itu semua pelanggan panik dan lari menyelamatkan diri, saya juga terdengar pekerja memberitahu ada rakannya cedera.

"Syukur kami sempat menyelamatkan diri, selepas letupan berlaku api mula marak di bahagian dapur sebelum pihak bomba tiba untuk melakukan pemadaman," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Wan Mohamad Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.44 pagi.

"Susulan itu empat jentera bersama water tanker dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Seputeh, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setiba di lokasi, pada 11.51 pagi api didapati masih marak di Restoran Nasi Kandar berkenaan dan kerja pemadaman dijalankan.

"Seorang mangsa berusia 45 tahun melecur 80 peratus berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan 70 peratus bahagian premis terbabit dan kebakaran dapat di kawal pada 12.40 tengah hari.

"Punca dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak bersebelahan restoran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 1:57 PM