ANTARA barangan yang musnah dalam kebakaran di Taman Seri Utama.
ANTARA barangan yang musnah dalam kebakaran di Taman Seri Utama.
Nur Syazwana Mansor

Gurun: “Saya terdengar bunyi letupan seperti mercun, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka kanak-kanak bermain di luar sebelum dikejutkan dengan jeritan api berulang kali.”

Begitu kata seorang wanita, V Nandini, 28, saksi kebakaran membabitkan tiga rumah teres bersebelahan rumahnya di Taman Seri Utama, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.15 malam, tiga rumah teres terjejas teruk di bahagian dapur dan bilik tidur belakang akibat disambar api.

Bagaimanapun, difahamkan hanya sebuah rumah sahaja dihuni sepasang suami isteri bersama dua anak mereka manakala dua rumah lagi dijadikan tadika dan juga stor menyimpan buku dan barang terpakai.

Nandini berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai makan malam bersama keluarga dan bersiap melipat kain di ruang tamu rumahnya.

“Ketika itu saya mula dengar bunyi letupan berkali-kali seperti bunyi mercun, namun memandangkan sekarang musim perayaan Aidilfitri menyebabkan saya tidak mengendahkan bunyi terbabit kerana menyangka kanak-kanak bermain mercun.

“Bagaimanapun, saya terkejut sebaik sahaja terdengar suara jiran belakang rumah menjerit api berulang kali lalu membuka pintu dapur sebelum melihat api marak pada bahagian dapur rumah jiran,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, dalam keadaan cemas dia segera keluar kerana bimbang api akan merebak sehingga ke rumahnya dan pada masa sama jiran yang lain turut datang menyimbah air untuk mengawal kebakaran.

“Jiran berdekatan datang membantu menyimbah air bagi mengawal kebakaran, namun api sudah marak dan sukar dikawal menyebabkan mereka menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Mujur pihak bomba tiba awal dan dapat mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah saya dan rumah jiran yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak Penolong Penguasa Bomba Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima laporan jam 9.35 malam sebelum 10 anggota serta dua pegawai bersama sebuah jentera dengan dibantu sebuah jentera dari BBP Yan dan 16 anggota dihantar ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah teres kelas A dan api dipercayai mula merebak dari bahagian dapur.

“Anggaran kerosakan bagi rumah utama yang dijadikan stor menyimpan barang sebanyak 75 peratus manakala rumah yang dijadikan tadika 30 peratus dan rumah yang berpenghuni 35 peratus.

“Kami mengambil masa 10 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah jiran lain dan api dapat dikawal jam 9.46 malam.,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:40 AM