BBP Besut menunjukkan jentera mini "water trailer" yang digunakan ketika operasi kebakaran berskala kecil.  FOTO Nurul Fatihah Sulaini
BBP Besut menunjukkan jentera mini "water trailer" yang digunakan ketika operasi kebakaran berskala kecil. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Idea kreatif anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut hanya mengambil masa tiga minggu melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencipta jentera mini dikenali sebagai water trailer.

Ketua BBP Besut Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, penggunaan jentera itu membantu mereka masuk ke lokasi sukar dilalui jentera bomba untuk melakukan operasi pemadaman.

Menurutnya, mereka menggunakan tangki kapasiti 1,000 liter, mesin pam berkapasiti tinggi dan pam tekanan tinggi yang diubah suai bagi menghasilkan pancutan air mengikut keadaan ketika proses memadam kebakaran.

"Cetusan idea menghasilkan jentera mini ini timbul ketika operasi program khidmat masyarakat (CSR) membantu penduduk yang terjejas bekalan air sekitar Bukit Keluang pada awal tahun ini.

"Tiga anggota diperlukan untuk menggerakkan jentera mini ini menggunakan pacuan empat roda untuk masuk ke lokasi atau lokasi kebakaran hutan berskala kecil," katanya ketika ditemui di BBP Besut, di sini, semalam.

Katanya, projek inovasi terbabit menggunakan barangan terpakai hasil sumbangan warga BBP Besut, pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Kami mencari alternatif serta kaedah lain untuk memadam kebakaran kerana ketika cuaca panas kebarangkalian kebakaran hutan dan belukar meningkat lebih lima kes sehari.

"Hasil kerjasama pelbagai pihak ini membantu memudahkan operasi pemadaman serta mengurangkan kemusnahan harta benda akibat kebakaran," katanya.

Katanya, jentera mini itu turut berfungsi sebagai jentera sokongan ketika berlaku kes kebakaran di lokasi berlainan pada satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:01 AM