ANGGOTA bomba melakukan pengeboman air menggunakan helikopter Agusta AW189 bagi memadamkan kebakaran tanah gambut di  Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ANGGOTA bomba melakukan pengeboman air menggunakan helikopter Agusta AW189 bagi memadamkan kebakaran tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Ruwaida Md Zain


CEDOK air dari laut menggunakan Helikopter Agusta AW189 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertujuan memadamkan kebakaran besar Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di Banting, pagi hari ini.

Dalam operasi itu, bomba menggugurkan 10,800 liter air di kawasan kebakaran hutan berkenaan.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, unit udara JBPM menjalankan operasi water bombing bagi membantu memadam kebakaran dari udara yang bermula 9.30 pagi.

“Sehingga jam 11.50 pagi (semalam) empat kali water bombing dilaksanakan di sektor A kompartmen 21 itu, air diambil dari laut pada jarak 10 kilometer dari lokasi kebakaran.

“Setiap satu water bombing boleh membawa 2,700 liter air. Pagi tadi empat kali water bombing dilaksanakan, jadi jumlah air digugurkan kira-kira 10,800 liter.

“Operasi ini disambung 2 petang dan dijangka empat kali lagi dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Norazam berkata, operasi water bombing juga bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.

Operasi water bombing yang menggunakan kaedah Bumby Bucket itu katanya dikendalikan tiga juruterbang bersama enam kru dari unit udara JBPM.

Beliau berkata, operasi water bombing itu bagi membantu pemadaman kebakaran terutama kawasan yang sukar dimasuki melalui jalan darat.

“Kerja memadam kebakaran selanjutnya dilakukan anggota bomba seluruh negeri Selangor terdiri daripada 60 anggota dan 15 pegawai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim mengesahkan pihak Ibu Pejabat APMM Putrajaya menerima permohonan menggunakan pesawat Bombardier CL 415 milik APMM.

ANGGOTA bomba melakukan kerja memadamkan kebakaran. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ANGGOTA bomba melakukan kerja memadamkan kebakaran. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 9:46 PM