KEADAAN motosikal yang berada dalam parit manakala penunggangnya maut dalam nahas di Jalan Permatang Tengah, Kampung Api-Api, semalam. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal yang berada dalam parit manakala penunggangnya maut dalam nahas di Jalan Permatang Tengah, Kampung Api-Api, semalam. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Perjalanan seorang lelaki pulang ke rumah berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas dalam parit di Jalan Permatang Tengah, Kampung Api-Api, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Juremi Mohd Sapie, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Ijok ke rumahnya di Jalan Meranti, Kampung Api-Api.

"Tiba di lokasi, lelaki itu disyaki gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan terjatuh dalam parit di laluan bertentangan.

"Mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Menurutnya, polis sedang mengesan saksi bebas di tempat kejadian selain kenderaan yang terbabit nahas akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 8:35 AM