Muhammad Iman Aqmar (kiri) dan kenderaan miliknya yang ditemukan dalam sungai. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Iman Aqmar (kiri) dan kenderaan miliknya yang ditemukan dalam sungai. FOTO ihsan pembaca
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jenazah Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan Pahang sudah selesai dimandi dan disolatkan di Hospital Kuantan, Pahang.

Ibunya, Azmawati Ab Kadir, 55, berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Pasir Gudang dan dikebumikan di Kampung Pasir Putih.

"Jenazah akan dibawa pulang ke Johor hari ini, selepas selesai jenazah dimandikan, dikafan dan disolat. Mungkin lepas Asar kami akan bertolak.

"Dijangka akan dikebumikan malam ini di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, Polis Pahang menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.

"Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat yang diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

"Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain," katanya.

Sebelum itu, kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial sejak tahun lalu, apabila adiknya, Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21 memohon orang ramai untuk menyalurkan berita berhubung kehilangan abangnya 29 Oktober tahun lalu, selepas gagal dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 4:23 PM