KEADAAN kereta mangsa di kawasan kejadian. FOTO TOGI MARZUKI
KEADAAN kereta mangsa di kawasan kejadian. FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki


“MEMANG dia (anak) tak balik betul, ” demikian Sariff Kayat, 67, bapa kepada Siti Nur Atika, 23, yang maut apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran Taman Seri Api-Api, Pontian, semalam.

Dalam kejadian jam 5.34 pagi itu, Siti Nur Atika bersama tiga rakan dikatakan dalam perjalanan pulang dari bandar Pontian ke kampung di Parit Tengah Seri Merlong, Batu Pahat.

Difahamkan, mereka berempat ke bandar Pontian untuk menjamu selera di gerai makan di bandar berkenan.

Bagaimanapun, Siti Nur Atika anak bongsu daripada tujuh beradik yang duduk di bahagian hadapan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan cedera parah di kepala.

Mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat, manakala tiga rakan lain termasuk pemandu hanya cedera.

Sariff berkata, beberapa jam sebelum kejadian, dia dihubungi oleh mangsa (anak) melalui telefon yang memaklumkan ‘ada kemungkinan tak balik ke rumah hari ini’ (semalam).

Katanya, seperti lazimnya, dia pulang ke rumah kediaman sama ada dari tempat kerja di kedai makan di Kampung Parit Betak, Benut atau ke bandar Pontian.

“Tidak sangka sama sekali pesanan anak melalui telefon yang dianggap gurauan itu menjadi kenyataan apabila dia ‘tak balik betul.

“Arwah anak yang baik dan paling manja ketika ibu kandungnya Misnah Sardub masih ada, ” katanya ketika ditemui di bilik Forensik Hospital Pontian.

Sariff yang ditemani isteri baru Maznah Reban, 53, reda ke atas pemergian anak dan berdoa rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan solehah.

Maznah pula menganggap mangsa seperti anak sendiri termasuk anak yang lain.

“Saya akan memandikan jenazah arwah di rumah selepas selesai proses bedah siasat selesai, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.34 pagi di Kilometer (KM) 63.3 berhampiran Taman Seri Api-Api di sini.

Katanya, siasatan awal, kereta dinaiki mangsa dari arah Pontian ke Jalan Batu Pahat hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di lokasi berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

“Bagaimanapun, tiga penumpang lain termasuk pemandunya mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pontian, ” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:43 PM