ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi suspek terjun ketika mengelak ditahan. FOTO Junaidi Ladjana
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi suspek terjun ketika mengelak ditahan. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


LELAKI bukan sahaja gagal melarikan beg tangan wanita, malah kini terlantar di hospital akibat parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan Kompleks Api-Api, Kota Kinabalu, ketika cuba melarikan diri, hari ini.

Dalam kejadian 12.40 tengah hari itu, suspek yang identitinya belum dikenal pasti kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.

Difahamkan, suspek dikatakan memecah masuk unit kediaman di tingkat lima bangunan berkenaan dan melarikan beg tangan wanita yang dipercayai berisi wang tunai dan beberapa dokumen penting.

Menurut sumber, kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan di bangunan berkenaan lalu mengejarnya sambil mengarahkan lelaki terbabit berhenti, namun tidak diendahkan dan suspek melarikan diri ke tingkat empat.

"Ketika itu, kawasan berkenaan dikepung beberapa pengawal keselamatan menyebabkan suspek melompat ke bumbung di tingkat tiga lalu terjatuh ke lantai di tingkat paling bawah.

"Berikutan itu, mangsa terbaring dalam keadaan parah. Pengawal keselamatan kemudian menghubungi ambulans sebelum suspek dihantar ke hospital," katanya.

Sementara itu, pemilik beg tangan berusia 24 tahun berkata, dia tidak menyedari beg tangannya dilarikan oleh suspek kerana ketika kejadian di berehat di dalam bilik.

"Saya hanya menyedari beg tangan hilang selepas tidak menemuinya sebelum turun ke tingkat bawah untuk memaklumkan kepada pengawal jika ada individu masuk ke dalam rumah.

"Pengawal itu memberitahu beg tangan saya sudah ditemui dan berada dengan polis. Suspek yang mencurinya dihantar ke hospital kerana terjatuh dari tingkat tiga di bangunan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 3:28 PM