Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diperuntukkan kerajaan bagi setiap murid dan pelajar bukan sahaja meringankan beban, tetapi membolehkan ibu bapa membeli kelengkapan sekolah lebih awal.

Selain BAP yang diberikan bermula Januari lalu, insentif awal penjawat awam yang diterima baru-baru ini turut dimanfaatkan sebaiknya ibu bapa untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

Tinjauan Harian Metro di gedung pakaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini mendapati rata-rata ibu bapa bersama anak-anak mereka membeli kelengkapan sekolah.

Kakitangan awam, Idham Khalil Abdul Muluk, 42, berkata, bantuan itu dapat menampung keperluan dua anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun membeli pakaian sekolah.

"Untuk dua orang anak saya mendapat BAP sebanyak RM300 dan ikutkan memang tidak cukup lagi-lagi semua barang sudah naik harga, tetapi saya buat 'survey' kedai mana yang menjual harga paling berpatutan dan tawarkan kain berkualiti.

"Dengan bajet itu saya dapat beli baju, seluar, alat tulis untuk anak, manakala untuk yuran dan buku saya gunakan sedikit daripada insentif penjawat awam yang diterima.

"Saya memang gunakan sebaiknya untuk selesaikan dulu keperluan persekolahan sebelum simpan selebihnya untuk persediaan hari raya dan perbelanjaan anak-anak," katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Idham Khalil yang juga seorang guru di Johor itu berkata, BAP dan insentif yang diberikan kerajaan banyak membantu ibu bapa yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

"Jika boleh bantuan seperti ini perlu diteruskan dan sebagai ibu bapa kita perlu membuat perancangan memanfaatkan sebaiknya bantuan yang ada," katanya.

Selain itu, ada juga ibu bapa yang menyimpan sebahagian daripada BAP berkenaan untuk pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) apabila sekolah dibuka nanti.

Bagi penjawat awam Nur Firdaus Rahmatullah, 39, berkata dia membeli barang sekolah yang memang diperlukan seperti baju dan tudung manakala barangan yang masih elok digunakan sebaiknya.

Menurutnya, sebahagian wang bantuan itu disimpan untuk membayar yuran sekolah dan membeli buku.

"Saya ada seorang anak yang bersekolah di darjah tiga dan ikutkan harga untuk beli semua kelengkapan seperti baju, tudung, kain, kasut boleh mencecah RM350 sekarang itu bagi dua pasang.

"Harga barang sekarang banyak yang naik jadi saya gunakan sebaik mungkin bantuan diterima, manakala insentif yang diperoleh akan peruntukkan bagi tambahan bayaran yuran dan buku sekolah anak," katanya.

Sementara itu, kakitangan awam dari Pahang, Asma Athira Zulkifli, 31, berkata dia memperuntukkan kira-kira RM300 untuk membeli kelengkapan seorang anak yang bersekolah.

Katanya, harga barang sekolah memang sudah lama naik, namun tahun ini tiada kenaikan ketara tetapi ibu bapa harus bijak membuat perbandingan dan persediaan awal.

"Harga kasut sekolah saja sepasang sekarang sudah mencecah RM50, bantuan BAP memang tak banyak tetapi sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa, lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai anak bersekolah.

"Saya sendiri sudah beli awal kelengkapan sekolah anak, jadi insentif yang diterima saya simpan dulu untuk keperluan lain, namun sebahagiannya memang untuk persekolahan anak.

"Harapan saya supaya BAP ini dapat diteruskan kerana ia sangat membantu ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah kerana harga barangan rakyat tidak boleh kawal, oleh itu dengan bantuan seperti dapat ringankan beban ibu bapa," katanya.

Bayaran BAP sebanyak RM150 sudah mula disalurkan kepada setiap murid bermula Januari 2024.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, sebanyak RM788.13 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 khusus untuk BAP dan bantuan secara sekali bayar (one off) itu memberi manfaat kepada 5,254,200 murid dan pelajar di seluruh negara.

Idham Khalil (kiri) melihat isterinya memilih baju sekolah buat anaknya ketika tinjauan Ibu Bapa membeli kelengkapan persekolahan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Idham Khalil (kiri) melihat isterinya memilih baju sekolah buat anaknya ketika tinjauan Ibu Bapa membeli kelengkapan persekolahan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 2:52 PM