ibu bapa yang membeli barang persekolahan anak pada saat akhir.
ibu bapa yang membeli barang persekolahan anak pada saat akhir.
HM Digital

Kuala Lumpur: Pembukaan sesi baru persekolahan semakin hampir dan dirasai apabila pusat beli-belah dan kedai pakaian di sekitar bandar raya mulai dibanjiri ibu bapa, semalam.

Walaupun pada hari biasa, tinjauan Harian Metro di beberapa pusat beli-belah sekitar ibu kota, semalam, mendapati ia masih dipenuhi pengunjung yang membeli kelengkapan sekolah.

Menurut guru, Nor Hayati Ismail, 43, dia menggunakan masa cutinya membeli kelengkapan persekolahan anak-anaknya.

“Kelengkapan sekolah seperti buku semua dah diselesaikan dan hari ini cuma ingin tambah apa yang perlu sebagai persiapan terakhir sebelum sesi baru persekolahan dibuka minggu depan.

“Saya mempunyai lima anak yang masih bersekolah dan bajet untuk seorang dikeluarkan RM200 tidak termasuk buku,” katanya ketika ditemui di pasar raya di sini, semalam.

Bagi Mariana Jemaat, 44, dia yang datang dari Johor kerana bercuti di sini mengambil kesempatan membeli barang kelengkapan sekolah anak-anaknya.

“Bajet yang perlu dikeluarkan untuk anak-anak saja RM1,000 lebih termasuk yuran dan buku sekolah mereka.

“Pasar raya di sini jauh lebih rendah berbanding tempat lain dan memudahkan lagi ibu bapa yang berpendapatan rendah seperti saya membeli barang sekolah anak,” katanya.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui membuat persiapan saat akhir dan ada juga yang baru mahu memulakan persiapan kerana ingin membeli barang kelengkapan sekolah yang jauh lebih rendah berbanding harga biasa dengan promosi yang ditawarkan pasar raya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:23 AM