KENAIKAN harga pakaian sekolah akan menambah beban ditanggung  ibu bapa.
KENAIKAN harga pakaian sekolah akan menambah beban ditanggung ibu bapa.
Muhammad Saufi Hassan dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyiasat isu kenaikan harga pakaian sekolah.

Presidennya, Mohd Afiq Salim berkata, berdasarkan tinjauan dilakukan pihaknya di sekitar Lembah Klang, harga bagi pakaian berkenaan meningkat sehingga 20 peratus, sekali gus membebankan ibu bapa.

Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan rakyat kini berdepan dengan isu harga barang serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Tinjauan Biro Kebajikan PPMM mendapati, beberapa pusat menjual pakaian dan kelengkapan sekolah menjualnya pada harga lebih tinggi dari biasa.

"Dalam keadaan ekonomi tidak menentu hari ini, sewajarnya tidak berlaku kenaikan ini yang sudah tentu membebankan.

"Jadi kita gesa KPDN mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan ketika sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi," katanya.

Mohd Afiq berkata, antara alasan diberikan peniaga termasuk, kain yang diimport dari luar negara yang menyebabkan kos menjadi lebih tinggi.

Menurutnya, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana pelbagai material lain boleh digunakan asalkan ia bersesuaian dengan peraturan sekolah.

"Saya rasa isu pakaian sekolah ini juga perlu penetapan harga oleh pihak berkuasa untuk membantu ibu bapa terutama yang mempunyai anak ramai.

"Mungkin satu skim khusus perlu diwujudkan kerana seperti perayaan, sesi persekolahan juga menyebabkan ibu bapa terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak," katanya.

Pada masa sama, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan satu mekanisme diwujudkan bagi memastikan harga kelengkapan sekolah tidak terus melambung dan membebankan ibu bapa.

Presidennya, Mohideen Abdul Kadeer berkata, pihaknya mengesan kenaikan harga kira-kira 10 peratus menjelang pembukaan sesi persekolahan yang berbaki 10 hari lagi.

"Tinjauan dilakukan pihak kami mendapati, memang ada kenaikan 10 peratus di premis menjual kelengkapan sekolah di negeri ini.

"Kenaikan ini sudah tentu membebankan lagi ibu bapa yang sudah terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup masa ini.

"Justeru, CAP menggesa kerajaan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan tiada lagi kenaikan pada masa akan datang," katanya.

Kos bahan material, pengangkutan punca kenaikan harga

Kuala Lumpur: Kenaikan kira-kira 10 peratus harga kelengkapan sekolah disebabkan faktor peningkatan kos bahan material dan pengangkutan.

Pengurus Besar Econsave Cash and Carry (Econsave), Mas Imran Adam berkata, kenaikan itu berlaku pada peringkat pembekal sejak awal tahun ini lagi.

"Memang ada peningkatan harga kira-kira 10 peratus daripada pembekal.

"Mereka memaklumkan kenaikan ini kerana peningkatan kos material dan pengangkutan.

"Namun, kami cuba menyerap peningkatan harga ini untuk memastikan pengguna dapat membeli keperluan pakaian sekolah pada harga murah dan berpatutan," katanya kepada Metro Ahad.

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mendapati, orang ramai khususnya ibu bapa masih keluar mencari kelengkapan sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan 2023, 20 Mac ini.

Pengurus Kedai Pusat Pakaian Hari-Hari Jalan TAR Anisah Abd Rahman berkata, sambutan masih memberangsangkan kerana ada segelintir ibu bapa yang mencari keperluan sekolah pada saat akhir.

Katanya, walaupun pihaknya juga terpaksa menaikkan barangan tertentu antara RM1 hingga RM2 berikutan kenaikan 10 peratus daripada pembekal, namun premis itu masih menjadi pilihan berikutan tawaran harga berpatutan.

"Dalam sebulan ini memang ada kenaikan antara 10 peratus seiring dengan kenaikan semua harga barangan lain.

"Jadi, pihak kami naikkan harga antara RM1 hingga RM2 untuk setiap item pakaian sekolah saja namun harganya masih mampu milik dan tidak membebankan pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan memahami keadaan ini, namun ada juga segelintir pelanggan merungut kerana terkesan dengan kenaikan ini," katanya.

MOHD Syahmir Mohd Aminnudin mencuba baju sekolah untuk anaknya Muhammad Alif Rayyan, 15, (kanan) dan Umar Hadif Rayqal, 10, di sebuah pasar raya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
MOHD Syahmir Mohd Aminnudin mencuba baju sekolah untuk anaknya Muhammad Alif Rayyan, 15, (kanan) dan Umar Hadif Rayqal, 10, di sebuah pasar raya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

'Dulu belanja RM200, sekarang lebih RM1,000'

Kuala Lumpur: "Bayangkan jika ketua keluarga yang mempunyai pendapatan rendah, mempunyai anak bersekolah lebih daripada dua orang, pastinya mereka perlu membelanjakan lebih RM1,000 untuk kelengkapan sekolah saja.

"Itu tidak termasuk yuran pengangkutan yang ketika ini sudah mencecah sekitar RM400 hingga RM500 mengikut kawasan dan wang belanja saku untuk anak-anak."

Ia ulasan bapa kepada dua anak, Mohd Faizal Daud, 47, yang turut memaklumkan, kenaikan harga pakaian seragam sekolah pada ketika ini sangat ketara berbanding tahun sebelumnya.

"Jika dulu, kita boleh berbelanja sekitar RM200 hingga RM300 untuk pakaian seragam sekolah tetapi pada sesi kali ini, situasi sangat berbeza dengan kenaikan harga yang dirasai.

"Itu tidak termasuk yuran pengangkutan pergi balik anak, tempat transit sehingga petang dan perbelanjaan makanan," katanya.

Mohd Faizal turut berharap kerajaan memperkenalkan skim harga Rahmah untuk pakaian sekolah dalam tempoh yang masih berbaki kira-kira tujuh hari sebelum sesi persekolahan dibuka 20 Februari depan.

Seorang lagi bapa, Shahrul Akmal Zam, 34, sependapat bahawa skim harga rahmah berkenaan perlu diperluaskan khususnya untuk pembelian barangan persekolahan.

"Barang persekolahan khususnya pakaian seragam ini sangat perlu khususnya bagi kebanyakan keluarga yang mempunyai anak masih bersekolah.

"Kenaikan harga ini sememangnya dirasai khusus bagi keluarga kategori B40 dan M40 yang tinggal di bandar-bandar besar," katanya.

Menurutnya, masih belum terlewat untuk kerajaan memperkenalkan skim barangan persekolahan mengikut pendekatan 'menu rahmah' dan keadaan itu pastinya sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 12:00 PM