IBU bapa sibuk membeli kelengkapan anak di sebuah pasar raya di ibu kota.
IBU bapa sibuk membeli kelengkapan anak di sebuah pasar raya di ibu kota.
NOR Hayati Mohd Yaacob memakaikan tudung pada anaknya Ain Batrisyia Sha'ary untuk persiapan persekolahan tahun depan.
NOR Hayati Mohd Yaacob memakaikan tudung pada anaknya Ain Batrisyia Sha'ary untuk persiapan persekolahan tahun depan.
Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Sesi persekolahan 2016 akan bermula minggu depan, dan golongan ibu bapa didapati masih sibuk melayan kerenah anak-anak membeli barangan yang dikehendaki memandangkan kesibukan bekerja sebelum ini.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang terkenal sebagai tumpuan orang ramai membeli-belah mendapati kebanyakan ibu bapa terpaksa memilih barang yang perlu sahaja dan langkah berjimat cermat dibuat memandangkan kenaikan harga barangan berbanding tahun lalu.

Seorang pembeli, Noranita Mohd Ali, 47, berkata, dia tidak meletakkan bajet persiapan persekolahan untuk anaknya yang berusia 12 tahun dan menggunakan konsep ‘belasah’ sahaja.

Bagaimanapun, dia juga tidak sekali-kali berbelanja secara berlebihan memandangkan harga barangan seperti baju seluar sekolah, kasut, beg, alat tulis dan buku semakin meningkat.

“Sebab itu, saya berpesan kepada anak untuk tidak membeli barangan yang tidak perlu dan hanya membeli sepasang untuk setiap barang persekolahan.

“Lagipun, baju dan kasut lama boleh dipakai lagi kerana saya memfokuskan bajet kepada buku dan yuran,” katanya yang bercuti dan menggunakan peluang itu membawa anak membeli barang sekolah.

Persiapan terakhir sebelum anak-anak memasuki penggal persekolahan baru pada Januari ini turut digunakan sebaik mungkin oleh pasangan orang kurang upaya (OKU), Hisham Khailani, 47, dan Noorhamidah Mohamad Nor, 42.

Menurut anak pasangan cacat pendengaran itu, Muhammad Aidil Faiq Hisham, 10, ibu bapanya menggunakan kesempatan itu membeli barangan sekolahnya dan memilih membeli semua kelengkapan di premis biasa.

“Baru sekarang ibu dan ayah lapang. Sebab itu, mereka bawa saya membeli kelengkapan sekolah dan memilih barangan yang perlu sahaja.

“Ibu dan ayah memang akan membeli pakaian baru sekiranya pakaian lama tidak muat, koyak atau lusuh. Mereka juga berpesan untuk berjimat memandangkan harga barang mahal,” katanya yang datang dari Kepong untuk membeli barang sekolah di sekitar Jalan TAR memandangkan harga barangan di situ berpatutan berbanding tempat lain.

Sementara itu, seorang ibu, Ashwini Subramaniam, 37, memberitahu, dia gemar membeli-belah pada saat-saat akhir kerana kurang sesak berbanding awal-awal Disember.

“Pakaian pelajar sekolah menengah berbeza daripada sekolah rendah, bahkan barangan seperti buku latihan juga diperlukan lebih banyak,” ujarnya yang membelanjakan kira-kira RM300 untuk kedua-dua orang anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 9:09 AM